Diterbitkan pada 14 April 2026, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dengkil – Kerajaan terus memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara melalui usaha memperkasakan infrastruktur strategik dan mempercepat diversifikasi sumber tenaga, termasuk biobahan api bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Langkah ini dizahirkan menerusi lawatan kerja rasmi Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama-sama Menteri Ekonomi, YB Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Syarikat PS Pipeline Sdn. Bhd. [syarikat usaha sama antara Petronas Dagangan Berhad (PetDag) dengan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd.] di Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT).

Lawatan tersebut bertujuan meninjau kesiapsiagaan kemudahan strategik negara bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil, khususnya di Lembah Klang yang merupakan pusat ekonomi utama.

KVDT berperanan sebagai hab penyimpanan dan pengedaran petroleum, serta pusat pengadunan biodiesel utama, sekali gus memastikan sistem pengedaran bahan api berjalan lancar dan cekap.

Bagi menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks, kerajaan menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh dalam pengurusan tenaga negara yang merangkumi aspek keselamatan tenaga, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi.

Usaha ini juga selari dengan agenda peralihan tenaga negara yang memberikan penekanan kepada kepelbagaian sumber tenaga bagi mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil.

YB Datuk Seri Dr. Noraini berkata, kerajaan turut memperkukuh komitmen terhadap pembangunan biobahan api melalui program Biodiesel Negara. Pengurusan sumber biobahan api domestik dilihat sebagai elemen penting dalam mengurangkan kebergantungan pada pasaran luar yang tidak menentu, di samping menyokong agenda kelestarian tenaga negara.

YB Datuk Seri Akmal Nasrullah turut menegaskan bahawa operasi KVDT memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Dalam konteks ini, penggunaan biodiesel dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh ketahanan tenaga dan selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian dengan agensi berkaitan dengannya bagi memastikan aspek teknikal dan kawal selia tenaga negara berada pada tahap optimum, sekali gus menjamin kestabilan bekalan tenaga dalam jangka masa panjang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi