Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-13 (AFMGM) menyambut baik cadangan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengenai kemudahan bernilai USD30 bilion (RM141 bilion) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dalam usaha menyokong pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan dan Visi Komuniti ASEAN 2045.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), perkara berkenaan dinyatakan semasa penyertaan Malaysia dalam AFMGM ke-13 yang berlangsung secara maya diketuai Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama-sama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), YBhg. Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Mesyuarat tersebut turut menyentuh mengenai penubuhan semula Pengaturan Swap ASEAN bagi memperkukuh jaringan kewangan serantau.
Selain itu, MoF berkata, para Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN mengambil maklum mengenai kemajuan Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan dan perkembangan saluran projek di bawah Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau ASEAN (ACGF) yang melibatkan projek bernilai USD19.4 bilion (RM91.2 BILION) bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Pelancaran Dana Keterhubungan Serantau (RCF) bagi Tenaga pada 7 April 2026 turut dialu-alukan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh keterjaminan tenaga dan menyokong Grid Kuasa ASEAN.
Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Asia Barat dan implikasinya terhadap perdagangan global, sektor tenaga dan risiko lain seperti tarif, perpecahan geoekonomi dan kerentanan hutang.
Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh integrasi kewangan dan kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan makroekonomi dan meningkatkan daya tahan ASEAN.
Menurut YB Menteri, dalam menghadapi ketidaktentuan global, ASEAN perlu mengekalkan pendirian yang pragmatik dan stabil.
Beliau berkata, meskipun Malaysia mempunyai kawalan terhad terhadap faktor luaran, negara masih berupaya mengukuhkan asas domestik melalui integrasi yang lebih mendalam, penyelarasan dasar yang dipertingkatkan, serta mengekalkan kredibiliti makroekonomi dan keyakinan pelabur terhadap rantau ini.
MoF turut memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut meluluskan beberapa keutamaan di bawah tema Kepengerusian Filipina 2026 “Mengemudi Masa Depan Kita Bersama”, termasuk usaha memperkukuh pasaran modal ASEAN yang mampan dan berdaya tahan, meningkatkan ketersambungan pembayaran serantau dan mempromosikan kesejahteraan kewangan melalui pembangunan rangka kerja serantau.
Pada masa yang sama, AFMGM dan mesyuarat berkaitan dengannya turut mendapat manfaat daripada libat urus berterusan dengan rakan luar utama dan institusi kewangan antarabangsa seperti Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Perbendaharaan Australia, Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN, Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN, Majlis Perniagaan United Kingdom-ASEAN, TheCityUK, ADB, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Pelibatan ini membantu menyumbang pertukaran pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global.
AFMGM ke-13 yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Jabatan Kewangan Filipina, Frederick D. Go dan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Eli M. Remolona Jr, diakhiri dengan Kenyataan Bersama yang menegaskan komitmen ASEAN untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan, mempercepat transformasi digital, serta mempromosikan pertumbuhan mampan dan eksklusif.