Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memeterai memorandum kerjasama (MoC) bagi memperkukuh pembangunan industri berteknologi tinggi dan merancakkan pelaburan strategik di Selangor.
Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, kolaborasi tersebut penting bagi memastikan agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) negara mampu memberikan impak ekonomi yang nyata.
Menurut beliau, pendekatan kolaboratif ini menghubungkan perancangan strategik dengan pelaksanaan di lapangan dan keperluan industri, sekali gus mempercepat pemindahan teknologi dan meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama itu bertujuan memperkukuh penyelarasan antara dasar, pelaksanaan dan keperluan industri selaras dengan usaha membangunkan ekosistem STI yang berimpak tinggi dan berorientasikan hasil.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, YBrs. Ts. Encik Rushdi Abdul Rahim berkata, kolaborasi berkenaan mencerminkan peralihan peranan MIGHT daripada sekadar penasihat kepada rakan pelaksana strategik dalam memacu pembangunan industri negara.
Ujarnya, pendekatan tersebut memberikan penekanan kepada pelaksanaan yang lebih proaktif, dengan fokus menterjemahkan pelan strategik kepada pelaburan dan inovasi berimpak tinggi.
Tambah beliau, melalui kolaborasi itu, MIGHT akan memacu pembangunan tiga kluster industri strategik, iaitu aeroangkasa, pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), serta sains hayat.
MIGHT juga komited memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berstruktur dan memberikan impak nyata kepada industri, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, YB Tuan Ng Sze Han pula berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik kerjasama tersebut yang selari dengan aspirasi untuk memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab industri berteknologi tinggi dan pusat pelaburan berimpak tinggi.
Menurut beliau, inisiatif itu dijangka menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, serta memperkukuh pembangunan bakat dan rantaian bekalan tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan dengannya, sektor aeroangkasa negara menunjukkan pemulihan kukuh dengan peningkatan hasil daripada RM11.6 bilion pada tahun 2020 kepada RM25.1 bilion pada tahun 2024.
Sektor SBSR kini berada di kedudukan ke-16 dunia dan sedang melalui transformasi ke arah pengadaptasian teknologi hijau dan digital.
Selain itu, pembangunan kluster sains hayat di Bukit Beruntung dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri peranti perubatan, bioteknologi dan kesihatan digital di negara ini
Dalam majlis tersebut, turut berlangsung peluncuran laporan Malaysia Smart City Outlook 2026–2030 yang menekankan keperluan pendekatan strategik dan inklusif dalam pembangunan bandar pintar.
Antara fokus utama laporan berkenaan termasuklah reka bentuk bandar yang responsif terhadap perubahan iklim, pembangunan infrastruktur mampan dan pengukuhan penyertaan digital dalam kalangan komuniti.
Kolaborasi MIGHT dan PNSB dilihat seiring dengan aspirasi tersebut dalam memacu pembangunan strategik berteraskan teknologi tinggi.