Diterbitkan pada 15 Mac 2026, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Membakut – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui penganjuran Majlis Iftar Ramadan yang menyantuni golongan asnaf dan pelajar tahfiz di samping menggerakkan pelaksanaan Strategi A.B.C.D.

Sebanyak 614 penerima menerima sumbangan berjumlah RM61,800 dalam majlis tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin.

Bagi memperkasakan institusi keagamaan, sebanyak lapan masjid dan 21 surau turut menerima sumbangan berjumlah RM36,000 demi memastikan kemudahan yang lebih kondusif untuk kegunaan komuniti setempat. Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Pejabat Parlimen Kimanis dengan Dana Zakat Bank Rakyat.

Menurut YB Datuk Mohamad Alamin, peranan KUSKOP tidak terhad pada pembangunan perniagaan semata-mata, sebaliknya turut menyokong aspirasi Kerajaan MADANI dalam merapatkan jurang ekonomi rakyat.

Sehubungan dengan itu, kementerian telah memperkenalkan Strategi A.B.C.D yang memberikan tumpuan kepada empat teras utama, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal serta Daya Akses kepada Pasaran.

Pendekatan ini dirangka bagi mentransformasikan usahawan dan koperasi luar bandar agar lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara mampan.

Beliau turut menjelaskan bahawa daya tahan ekonomi luar bandar terus diperkukuh melalui sinergi strategik bersama-sama agensi di bawah KUSKOP. Antaranya termasuklah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang membimbing koperasi meningkatkan pendapatan, Bank Rakyat dan TEKUN Nasional yang menyediakan kemudahan pembiayaan yang mudah dan cepat, dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memberikan tumpuan kepada pemerkasaan usahawan wanita melalui penyediaan modal perniagaan yang lebih inklusif.

KUSKOP kekal komited dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi yang lebih dinamik bagi memastikan komuniti usahawan terus berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi