Diterbitkan pada 11 Mac 2026, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tokyo – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi nilai jualan hingga RM80 juta menerusi penyertaan delegasi Malaysia dalam International Food and Beverage Exhibition (FOODEX Japan 2026) yang berlangsung di Tokyo Big Sight dari 10 Mac 2026 hingga 13 Mac 2026.

Sebanyak 31 syarikat dan tiga koperasi Malaysia telah dibawa menyertai misi perdagangan antarabangsa ini yang merupakan antara pameran makanan dan minuman terbesar di Asia, menghimpunkan lebih daripada 3,000 pempamer dari 80 negara. Penyertaan tersebut dilihat sebagai platform strategik untuk memperluas akses pasaran global bagi produk tempatan.

Delegasi KUSKOP diketuai oleh Ketua Setiausaha kementerian, YBhg. Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud bersama-sama beberapa agensi di bawah kementeriannya seperti SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), selain turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim berkata, Jepun merupakan pasaran premium yang menuntut standard kualiti tinggi dan kejayaan menembusi pasaran tersebut mampu meningkatkan kredibiliti dan daya saing produk Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, penyertaan ini juga selari dengan strategi ABCD KUSKOP yang merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi memperkasakan usahawan tempatan.

Selain pameran, delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre (AJC) bagi meneroka potensi kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dengan Jepun, di samping melaksanakan sesi libat urus bersama-sama penggiat industri global untuk memperluas jaringan perniagaan.

Pelaksanaan misi perdagangan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik negara dalam menyokong agenda Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh jaringan ekonomi dan meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada peringkat antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi