Diterbitkan pada 8 Mac 2026, 09:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Papar – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkasakan ekonomi komuniti di Sabah melalui pelaksanaan projek pembinaan Bazar Usahawan Masjid di Masjid Jamek Haji Said Derun, Kampung Malagui Kelatuan.

Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta dan merupakan langkah strategik bagi meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil di kawasan luar bandar.

Projek yang akan dilaksanakan oleh UDA Holdings itu dijangka memberikan manfaat kepada sekurang-kurangnya 20 usahawan mikro tempatan.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Premis Tamu Desa yang bertujuan menyediakan ruang niaga lebih tersusun dan sistematik, sekali gus mengangkat martabat penjaja dan peniaga kecil.

Usaha ini turut mencerminkan komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkukuh sektor keusahawanan melalui kerjasama strategik dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), khususnya dalam penggunaan tanah wakaf masjid bagi manfaat komuniti setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad Alamin menegaskan bahawa projek tersebut perlu disegerakan supaya komuniti usahawan kariah masjid dapat menikmati manfaatnya dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Koperasi Kariah Masjid bagi memastikan pengurusan bazar dilaksanakan secara profesional dengan sokongan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Dalam program yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 500 golongan asnaf dengan jumlah keseluruhan RM50,000.

Selain itu, sebanyak lapan masjid dan 38 surau menerima sumbangan berjumlah RM84,000 bagi menyokong aktiviti pengimarahan dan penyelenggaraan infrastruktur agar kekal kondusif kepada masyarakat.

Penganjuran program tersebut memperlihatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Khidmat Kontraktor, TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan SME Corp bagi mendekati dan menyumbang kepada komuniti setempat.

KUSKOP menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi yang lebih dinamik, sekali gus memastikan komuniti usahawan kekal berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi