Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan sesi libat urus bersama-sama penggiat industri bagi membincangkan impak konflik di Timur Tengah terhadap sektor pertanian negara.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak di Wisma Tani.

Sesi ini menjadi platform strategik untuk mengenal pasti isu dan cabaran semasa, di samping mendapatkan maklum balas daripada penggiat industri berhubung dengan tahap daya tahan sektor agromakanan dalam menghadapi krisis global tersebut.

Perbincangan memberikan tumpuan kepada usaha merangka langkah mitigasi yang berkesan bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas.

Kerajaan turut menegaskan bahawa pemantauan rapi sedang dilaksanakan terhadap rantaian bekalan, khususnya bagi memastikan kos logistik dan input pertanian kekal stabil.

Dalam pada itu, kerajaan memberikan jaminan bahawa stok penimbal bahan mentah utama berada pada tahap mencukupi untuk menampung keperluan negara bagi tempoh beberapa bulan akan datang. Langkah ini penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara walaupun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik.

Selain itu, kerjasama antara agensi kerajaan dengan penggiat industri akan terus diperkukuh bagi membangunkan mekanisme kawalan yang lebih efektif.

Usaha mengoptimumkan penggunaan tanah tempatan turut diberikan penekanan sebagai strategi jangka masa panjang untuk meningkatkan pengeluaran domestik dan mengurangkan kebergantungan pada import.

Yang turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob, ketua jabatan dan kira-kira 160 penggiat industri agromakanan.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi