Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan sesi libat urus bersama-sama pesawah di Kedah bagi membincangkan isu pemutuan padi yang kini menjadi antara kebimbangan utama golongan berkenaan.
Program yang berlangsung pada 11 Mac 2026 di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu melibatkan kira-kira 50 pesawah dari pelbagai wilayah jelapang padi di bawah seliaan agensi tersebut.
Dalam sesi berkenaan, wakil Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut dijemput untuk menyampaikan taklimat terperinci mengenai proses sebenar pemutuan padi.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kefahaman pesawah terhadap kaedah yang diguna pakai pada peringkat kilang, sekali gus mengurangkan kekeliruan ketika urusan penjualan hasil tuaian.
KPKM menjadikan sesi tersebut sebagai platform penting untuk mendapatkan input secara langsung daripada pesawah yang berdepan dengan isu pemutuan padi di lapangan.
Maklum balas yang diterima akan digunakan bagi menilai keadaan semasa, serta merangka pendekatan lebih berkesan dalam melindungi kepentingan pesawah dan memastikan kestabilan industri padi dan beras negara.
Selain itu, Task Force Kawalselia Padi dan Beras Zon Utara telah digerakkan secara aktif sejak 16 Februari 2026 bagi melaksanakan pemantauan khas terhadap pelaksanaan pemutuan sebenar padi bagi Musim 1/2026 di Kedah.
Usaha penguatkuasaan tersebut akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap prosedur dipatuhi dan kebajikan pesawah sentiasa terpelihara.
KPKM menegaskan bahawa penyelesaian isu pemutuan padi, serta usaha memperkasakan industri beras tempatan memerlukan kerjasama berterusan dan komitmen menyeluruh daripada semua pihak dalam ekosistem industri.
Pendekatan kolektif itu penting bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan bersifat adil, seimbang dan mampu menyokong keterjaminan makanan negara secara mampan.