Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGemas – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyaksikan satu lagi detik penting dalam pembangunan industri tenusu negara apabila pelepasan eksport susu segar pukal pertama dari F&N AgriValley ke Singapura disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak.
Pelepasan eksport tersebut menandakan pencapaian penting bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara, di samping membuktikan keupayaan industri tenusu tempatan menghasilkan susu segar berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Projek F&N AgriValley di Gemas merupakan ladang tenusu bersepadu berskala besar yang dibangunkan bagi meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import produk tenusu.
Projek berteknologi tinggi itu melibatkan pelaburan sekitar RM1.8 bilion dan dirancang untuk meningkatkan kapasiti ternakan sehingga puluhan ribu ekor lembu tenusu secara berperingkat.
Pada peringkat awal, ladang tersebut menerima kumpulan pertama lembu tenusu baka Holstein yang diimport dari Chile bagi menyokong pengeluaran susu segar tempatan.
Kehadiran ternakan tersebut turut menandakan import lembu pembiak baka terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan industri tenusu negara.
Dengan pembangunan F&N AgriValley, Malaysia berpotensi meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran susu segar selain mewujudkan rantaian bekalan tenusu yang lebih mampan.
Inisiatif ini juga dijangka membantu memperkukuh kedudukan negara sebagai hab industri tenusu serantau dan menyokong usaha kerajaan bagi memastikan bekalan makanan yang stabil dan berdaya saing.
Majlis pelepasan eksport tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron; Pengarah AgriValley Sdn. Bhd. merangkap Pengarah Urusan Bahagian Makanan dan Libat Urus Industri, YBhg. Datuk Raffiq Md Ariff; Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan KPKM, YBrs. Encik Khalid Ibrahim; dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, YBrs. Dr. Nurul ’Ain Ahmad.
Yang turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan KPKM, serta wakil daripada jabatan dan agensi berkaitan dengannya.