Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKedah – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan lebih RM10 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah di Kawasan Muda.
Langkah tersebut bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap risiko kerosakan tanaman dan memastikan kelangsungan sumber pendapatan golongan pesawah.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam satu majlis yang turut menghimpunkan pimpinan peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Dalam majlis tersebut, pampasan STTP diagihkan kepada beberapa kawasan terlibat dengan jumlah keseluruhan melebihi RM10 juta.
Antara penerima pampasan termasuklah MADA Perlis yang menerima sebanyak RM5,724,142.50, diikuti MADA Jitra, Kedah sebanyak RM3,924,615.00. Selain itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong menerima RM242,427.21, PPK Beseri sebanyak RM51,384.15, manakala Wilayah 4 MADA Kota Sarang Semut, Kedah menerima RM62,280.00.
Skim yang diperkenalkan pada September 2024 itu menyediakan perlindungan kewangan kepada pesawah berdaftar yang mengalami kerosakan atau kerugian kekal tanaman padi akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
Melalui skim tersebut, pesawah layak menerima perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam, manakala kerugian disebabkan serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman dilindungi sehingga RM1,500 sehektar semusim.
Sehingga kini, sebanyak 10,726 pesawah menerima pampasan berjumlah RM24.6 juta menerusi STTP.
Dalam pada itu, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus menjaga kebajikan pesawah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif sokongan kepada sektor padi negara.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi memastikan setiap bantuan dan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada pesawah di lapangan.
Pelaksanaan STTP ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sokongan kepada pesawah bagi menghadapi risiko luar jangka, sekali gus memastikan sektor penanaman padi negara kekal mampan dan menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.
Pada akhir majlis, Menteri KPKM turut menyampaikan sumbangan zakat MADA kepada 10 orang penerima yang layak.