Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan penyelaras utama bagi memperkukuh tadbir urus ekosistem ekonomi gig di negara ini.
Menurut KESUMA, penubuhan SEGiM merupakan langkah strategik yang selari dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] yang dijadualkan berkuatkuasa sepenuhnya pada 31 Mac 2026.
Pada peringkat awal, skop SEGiM tertumpu pada pekerja gig yang beroperasi melalui platform digital.
Walau bagaimanapun, melalui Akta 872, perlindungan yang diperkenalkan adalah lebih menyeluruh kerana merangkumi kedua-dua kategori pekerja gig, iaitu pekerja gig berplatform dan juga pekerja gig bukan platform.
Akta tersebut diperkenalkan bagi menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas untuk melindungi kebajikan pekerja gig dan memastikan pembangunan sektor ekonomi gig berkembang secara mampan, tersusun dan adil.
KESUMA menjelaskan bahawa beberapa mekanisme utama akan diperkenalkan melalui akta tersebut bagi memperkukuh perlindungan pekerja gig, termasuk ketelusan kontrak, mekanisme penyelesaian pertikaian dan pengukuhan perlindungan keselamatan sosial.
Rangka kerja ini bertujuan memastikan hubungan kerja antara pekerja gig dengan penyedia platform dilaksanakan secara lebih telus, seimbang dan bertanggungjawab.
Sebagai persediaan menjelang penguatkuasaan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Perundingan Gig sebagai platform tiga pihak yang menghimpunkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak.
Majlis ini berperanan menasihati dan mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan dengan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai dalam sektor gig.
Selain itu, majlis berkenaan juga berfungsi sebagai platform dialog rundingan dan nasihat dasar berhubung dengan isu yang timbul dalam ekosistem ekonomi gig.
Bagi memastikan kesinambungan antara peranan Majlis Perundingan Gig dengan SEGiM, serta mengelakkan pertindihan fungsi, KESUMA turut mengemukakan pencalonan wakil pegawai awam melalui Pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk menganggotai majlis tersebut.
Penyertaan ini diyakini dapat memperkukuh penyelarasan dasar dan tadbir urus sektor gig negara secara lebih menyeluruh.
Akta 872 turut memperkukuh aspek perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja gig apabila penyedia platform diwajibkan memastikan pendaftaran pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789].
Penyedia platform juga perlu membuat potongan daripada pendapatan pekerja gig yang mencarum bagi memastikan mereka layak menerima perlindungan sekiranya berlaku kemalangan ketika menjalankan perkhidmatan.
Selain itu, KESUMA turut memperkenalkan beberapa mekanisme penting, termasuk penubuhan Tribunal Pekerja Gig bagi menyediakan saluran penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, telus dan mudah diakses oleh pekerja gig.
Pada masa yang sama, garis panduan pelaksanaan sedang disediakan kepada penyedia platform bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta 872 berjalan lancar dan dapat memberikan manfaat kepada seluruh ekosistem ekonomi gig negara.
KESUMA menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited untuk memastikan perkembangan ekonomi digital negara bergerak seiring dengan perlindungan sosial yang adil dan mampan.
Penubuhan SEGiM dan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan fleksibiliti ekonomi gig terus berkembang tanpa mengabaikan kebajikan dan keselamatan pekerja yang menjadi tunjang kepada sektor tersebut.