Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan terus memperkukuh langkah meningkatkan pendapatan rakyat dan membendung kenaikan kos sara hidup bagi memastikan kesejahteraan isi rumah, khususnya di Selangor.
Menteri Ekonomi, YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kapar pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu kos sara hidup yang menjadi penanda aras utama kesejahteraan rakyat dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat. Oleh yang demikian, pelbagai reformasi yang dilaksanakan setakat ini diyakini menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah.
Berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan purata isi rumah nasional meningkat daripada RM8,479 pada tahun 2022 kepada RM9,155 pada tahun 2024, iaitu kadar 3.8 peratus setahun.
Bagi negeri Selangor, pendapatan purata isi rumah meningkat daripada RM12,233 kepada RM13,296 dalam tempoh sama dengan kadar pertumbuhan 4.2 peratus setahun.
Pendapatan penengah nasional pula meningkat daripada RM6,338 kepada RM7,017 (5.1 peratus setahun), manakala di Selangor meningkat daripada RM9,983 kepada RM10,726 (3.6 peratus setahun).
Dari segi perbelanjaan, purata nasional meningkat daripada RM5,150 kepada RM5,566 (3.9 peratus setahun), manakala di Selangor, purata perbelanjaan meningkat daripada RM6,770 kepada RM7,266 (3.5 peratus setahun).
Data Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) menunjukkan peningkatan daripada RM2,589 pada 2022 kepada RM2,705 pada tahun 2024, mencerminkan kenaikan kos sara hidup asas. Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) pula merekodkan Selangor pada paras 105.4 mata, antara yang tertinggi selepas Putrajaya (106.3) dan Kuala Lumpur (106.1).
Secara keseluruhan, pertumbuhan purata pendapatan 3.8 peratus pada tahun 2024 adalah lebih tinggi berbanding kadar inflasi 1.8 peratus, sekali gus membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah. Namun begitu, pertumbuhan perbelanjaan purata 3.9 peratus menunjukkan isi rumah masih berdepan cabaran kos sara hidup.
Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026-2030 akan meneruskan strategi serampang dua mata, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta membendung kenaikan kos barangan dan perkhidmatan asas seperti makanan, kesihatan, perumahan, pendidikan, utiliti dan pengangkutan awam.
Antara inisiatif utama termasuklah melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan melebihi RM15 bilion, bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM3.1 bilion, pelaksanaan subsidi bersasar bahan api dan utiliti, serta pelbagai langkah penstabilan harga di bawah Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
Menurut beliau, kerajaan juga melaksanakan pendekatan Dasar Gaji Progresif dan menaikkan Perintah Gaji Minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, di samping memperkukuh kemahiran, pembangunan bakat, peningkatan produktiviti, serta reformasi pendidikan.
“Selain itu, intervensi turut dilaksanakan bagi meningkatkan ketersediaan perumahan mampu milik dan menambah baik sistem pengangkutan awam, selaras dengan dapatan HIES dan IKSH yang mengenal pasti perumahan, utiliti dan pengangkutan sebagai komponen utama kos sara hidup terutama di kawasan bandar.”
Pendekatan pembangunan inklusif ini, menurut beliau, bertujuan memastikan pertumbuhan pendapatan sebenar rakyat dapat meningkat sekurang-kurangnya seiring dengan kenaikan kos sara hidup, di samping menangani kemiskinan, mengurangkan kesenjangan dan memperluas perlindungan sosial secara mampan.