Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan terus mempergiat langkah strategik bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan serta memastikan prestasi eksport negara kekal mampan dan berdaya saing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 di Dewan Rakyat semalam berhubung dengan jumlah nilai dagangan negara dalam ringgit, negara yang mencatat defisit perdagangan berterusan, serta langkah kerajaan menanganinya.
Menurut beliau, Malaysia mencatatkan peningkatan prestasi perdagangan pada tahun 2024 dengan nilai dagangan mencecah RM2.88 trilion, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun dan melepasi aras RM2.0 trilion. Nilai eksport meningkat 5.8 peratus kepada RM1.509 trilion, manakala import meningkat 13.1 peratus kepada RM1.37 trilion.
Prestasi tersebut menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM139.05 bilion, sekali gus menandakan tahun ke-27 lebihan dagangan berturut-turut sejak tahun 1998.
Menurut beliau, Malaysia turut mencatat lebihan dagangan dengan 13 daripada 20 rakan dagang utama yang menyumbang 88.2 peratus kepada jumlah keseluruhan perdagangan negara. Bagaimanapun, tujuh negara merekodkan defisit dagangan, iaitu China, Taiwan, Indonesia, Korea Selatan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Ireland.
Jelas beliau, defisit tersebut berpunca daripada kebergantungan import yang tinggi terhadap barangan strategik seperti produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum mentah, serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit yang menjadi input penting bagi aktiviti hiliran dan pengeluaran bernilai tambah industri domestik.
Bagi menangani situasi itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangka beberapa strategi utama bagi tahun 2026.
Antara strategi termasuklah mempergiat promosi eksport melalui penyertaan dalam acara antarabangsa dengan fokus kepada sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV) seperti industri E&E, aeroangkasa, automotif, halal, perkhidmatan, farmaseutikal, industri kreatif dan ekonomi Islam selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) akan diteruskan sebagai platform padanan perniagaan antara syarikat Malaysia dengan pembeli global. Pada tahun 2025, sebanyak 39 program INSP dianjurkan dengan penyertaan 1,538 buah syarikat tempatan.
Kerajaan turut memberikan tumpuan pada usaha mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan, di samping memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menyumbang 66.4 peratus kepada jumlah eksport negara.
Tambah beliau, agenda pendigitalan eksport juga diperkasakan melalui MADANI Digital Trade Platform (MDTP) dan program eTRADE bagi membantu pengeksport, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menembusi pasaran global.
Sejak tahun 2023, Program Hari Eksport Negeri turut dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bagi mendekati komuniti perniagaan pada peringkat akar umbi, serta mengenal pasti syarikat berpotensi tinggi untuk dieksportkan.
Dalam masa sama, kerajaan komited menjadikan Malaysia sebagai hab halal utama dunia menerusi pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030. Sektor halal dijangka menyumbang RM231 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
Melalui MATRADE, penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2025 (MIHAS 2025) merekodkan jualan tertinggi sebanyak RM6.05 bilion dan menarik lebih daripada 50,000 orang pengunjung perdagangan dari 80 buah negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform perdagangan halal utama dunia.
Menutup sesi soal jawab, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa MITI akan terus memperkasakan daya saing eksport melalui pelaksanaan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dan NIMP 2030 selaras dengan aspirasi RMK-13 dengan sasaran nilai eksport melebihi RM2.0 trilion menjelang tahun 2030.