Diterbitkan pada 17 Februari 2026, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Papar – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari 2026 hingga 20 Mac 2026 bagi memantau bekalan, serta harga barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, operasi tersebut akan dilaksanakan secara lebih kerap dan bersasar bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang amalan perniagaan tidak beretika, termasuk pencatutan harga dan iklan yang mengelirukan.

Menurut beliau, OPS Pantau dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan dan penguasaan secara berfokus sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri, khususnya terhadap barangan keperluan yang menjadi pilihan rakyat seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak dan tepung gandum, termasuk barangan yang tertakluk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Tambah beliau, tumpuan turut diberikan kepada premis perniagaan yang mengadakan jualan murah bagi memastikan tiada unsur pengiklanan yang mengelirukan.

Pemantauan juga akan melibatkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi mengelakkan penjualan barangan tiruan dan aktiviti penjualan secara dalam talian yang bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditempatkan di lokasi strategik seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya besar, pasar raya, kedai mini, kedai runcit dan platform jualan secara dalam talian bagi melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

Dalam pada itu, KPDN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga di bazar mematuhi perundangan sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Pantau ini,

Tambahnya, peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 273].

Untuk rekod, sebanyak 70,906 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang OPS Pantau 2025 dengan 390 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM42,878.52.

Sehubungan dengan itu, KPDN turut meminta kerjasama orang ramai sebagai sebahagian daripada gerakan massa di bawah kempen KITA GEMPUR untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kementerian sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan atau salah laku dalam kalangan peniaga.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi