Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Kerjasama strategik antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) membuka dimensi baharu dalam usaha mentransformasi sistem pemulihan prospek melalui pelaksanaan Program Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman, sebuah inisiatif pendidikan tinggi berimpak tinggi yang menumpukan pembangunan kemahiran ekonomi dan keusahawanan.
Diperkenalkan menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi, program ini bertujuan menyediakan prospek muda dengan ilmu, kemahiran dan asas keusahawanan bagi membolehkan mereka berdikari, serta menyumbang semula kepada ekonomi dan masyarakat selepas menjalani pemulihan.
Menurut Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor, program ini menekankan transformasi minda dan pembinaan jati diri, bukan sekadar pencapaian akademik. Katanya, pelajar menunjukkan peningkatan ketara dari segi keyakinan diri, kemahiran berfikir dan keupayaan merancang masa hadapan.
Kohort pertama program ini yang bermula pada September 2022 melibatkan 20 orang prospek muda dan berjaya menamatkan pengajian pada September 2024 dengan pembiayaan penuh daripada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI. Kesemua graduan turut mencatat sejarah apabila diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UPSI pada November 2024 sebagai kumpulan prospek pertama menerima diploma universiti.
Kejayaan tersebut diteruskan dengan kohort kedua yang melibatkan 24 orang pelajar bermula Mac 2025 hingga Mac 2027 dengan pembiayaan penuh oleh Bank Islam Berhad. Program ini menawarkan kurikulum komprehensif meliputi asas keusahawanan, pengurusan kewangan, pemasaran, pembangunan perniagaan serta modul pembinaan sahsiah dan kepimpinan.
Program Pelita Suluh Budiman turut mencipta sejarah sebagai program pendidikan tinggi pertama di Malaysia yang dilaksanakan sepenuhnya dalam institusi penjara. Kuliah dijalankan di Penjara Kluang, Johor menerusi penubuhan Bilik Kuliah UPSI yang dilengkapi kemudahan pembelajaran moden hasil sumbangan dan penajaan pelbagai pihak.
Penyelaras Program, YBrs. Dr. Raja Nazim Raja Abdullah berkata, sokongan penaja dan penderma menjadi faktor penting kejayaan pelaksanaan program ini, sekali gus membuka ruang kesinambungan kepada kohort seterusnya.
JPM pula menyediakan sokongan logistik dan keselamatan, manakala UPSI bertanggungjawab dari segi akademik, penyediaan tenaga pengajar dan penilaian kepiawaian universiti. Sinergi ini memastikan program berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan pendidikan, malah berfungsi sebagai mekanisme pemerkasaan ekonomi dan pengurangan risiko pengulangan jenayah.
Secara keseluruhannya, Program Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman membuktikan bahawa pendidikan dan pembangunan keusahawanan mampu menjadi instrumen pemulihan berkesan, sekali gus menyokong agenda keterangkuman sosial dan pembangunan modal insan negara.
