Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan akan melaksanakan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bermula 1 Mac 2026 bagi sektor perkilangan diikuti dengan sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun 2026, selaras dengan pengumuman Belanjawan MADANI 2026, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI memaklumkan bahawa pelaksanaan NIF menandakan anjakan dasar strategik dalam landskap insentif pelaburan negara dengan pendekatan berasaskan hasil bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

Sehubungan dengan itu, kerajaan tidak lagi menerima permohonan baharu insentif bagi sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986) dengan tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 28 Februari 2026 pada pukul 3.00 petang.

Menurut MITI, syarikat yang telah diluluskan dan sedang menikmati insentif di bawah PIA 1986 tidak akan terjejas dan kelulusan sedia ada akan terus berkuat kuasa mengikut terma dan syarat yang ditetapkan. Di bawah NIF, penilaian insentif akan dilaksanakan menggunakan Kad Skor Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA Scorecard) bagi mengukur impak pelaburan berdasarkan keutamaan nasional.

Kerajaan menawarkan dua jenis insentif cukai utama di bawah NIF, iaitu Kadar Cukai Khas Istimewa (STR) atau Elaun Cukai Pelaburan (ITA) yang ditentukan berdasarkan komitmen syarikat dan sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi dan aspek kemampanan.

MITI yakin pelaksanaan NIF akan memperkukuh ekosistem pelaburan negara, serta menyokong transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi