Diterbitkan pada 28 Januari 2026, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah negara perdagangan yang berdaya saing pada peringkat global apabila merekodkan prestasi perdagangan tertinggi dalam sejarah, mencecah nilai RM3.06 trilion bagi tahun kewangan 2025.

Pencapaian bersejarah ini diumumkan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican semasa majlis pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 yang diadakan di Menara MATRADE petang semalam.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Reezal Merican menekankan bahawa pencapaian ini merupakan isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia ialah negara yang mempunyai kredibiliti, dipercayai dan sentiasa melunaskan komitmen perniagaannya.

Menurut data yang dibentangkan, jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2025 berkembang sebanyak 6.3 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya, memecahkan siling RM3 trilion buat kali pertama.

Eksport negara terus mempamerkan daya tahan yang luar biasa dengan peningkatan kepada RM1.6 trilion, manakala import turut mencatatkan pertumbuhan positif mencecah RM1.5 trilion. Lebih membanggakan, menurut beliau, Malaysia berjaya mengekalkan lebihan dagangan (trade surplus) bagi tahun ke-28 berturut-turut dengan nilai lebihan sebanyak RM151.8 bilion.

“Tahun 2025 bukanlah tahun yang mudah. Perdagangan global diuji dengan gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan geopolitik dan kejutan ekonomi. Namun begitu, Malaysia memilih untuk tidak bersikap defensif. Sebaliknya, kita kekal terbuka, berdisiplin dalam strategi dan bertindak pantas,” tegas YB Dato’ Seri Reezal Merican.

Antara faktor utama kejayaan tahun 2025 termasuklah strategi diversifikasi pasaran yang agresif oleh MATRADE. Menurut beliau, Malaysia tidak lagi hanya bergantung pada pasaran tradisional, sebaliknya mula menapak kukuh dalam pasaran bukan tradisional dan wilayah baharu muncul.

YB Dato’ Seri Reezal Merican berkongsi statistik yang menunjukkan eksport ke negara-negara seperti Sudan melonjak sebanyak 325.2 peratus, Kyrgyzstan meningkat 225.8 peratus dan Uruguay naik 193 peratus. Beliau berkata, di tengah-tengah cabaran konflik, perdagangan dengan Palestin turut mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 17.2 peratus, membuktikan sokongan ekonomi yang berterusan.

Selain itu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terus menjadi instrumen penting. Perdagangan dengan 17 rakan dagang FTA kini menyumbang 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara dengan nilai melebihi RM2 trilion. Menurut beliau, perkara ini membuktikan keberkesanan perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam membuka akses pasaran yang lebih luas untuk produk Malaysia.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Sim Tze Tzin yang hadir mewakili Menteri MITI, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam ucapan perasmian, YB Sim Tze Tzin menyifatkan pencapaian RM3.06 trilion ini sebagai bukti kejayaan dasar kerajaan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang berjaya meningkatkan kerencaman sumber ekonomi negara. Sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor kekal sebagai penyumbang utama, mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global.

Bergerak ke hadapan bagi tahun 2026, MATRADE memaklumkan bahawa organisasi dagang tersebut akan memberikan tumpuan khusus kepada pendigitalan pengeksport melalui Platform Perdagangan Digital MATRADE. Inisiatif ini bertujuan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dapat bersaing dengan lebih pantas dan efisien pada pentas antarabangsa tanpa dikekang oleh sempadan fizikal.

MATRADE juga mengumumkan penyertaan strategik dalam pelbagai acara perdagangan antarabangsa pada tahun ini, termasuk Tokyo Game Show, InnoTrans, serta pengembangan jenama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke peringkat global seperti di Dubai.

Majlis yang bertemakan “Memperkasakan Prestasi, Membentuk Potensi” ini turut meraikan kejayaan lebih daripada 14,000 syarikat PKS yang mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif MATRADE, menyumbang kepada jualan eksport terkumpul hampir RM65 bilion.

Kredit Foto: MATRADE
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi