Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPasir Gudang – Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini merasmikan loji pengeluaran Biobahan Api Penerbangan Lestari [Sustainable Aviation Fuel (SAF)] oleh EcoCeres, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkasakan sektor agrikomoditi bernilai tinggi dan memperkukuh agenda ekonomi hijau negara.
Loji berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 350,000 tan dengan keupayaan menghasilkan SAF, Minyak Sayuran Terhidrogenasi (HVO) dan biodiesel (bionafta).
Teknologi pengeluaran yang digunakan berasaskan 100 peratus sisa industri sawit seperti minyak masak terpakai (UCO) dan minyak daripada Efluen Kilang Sawit (POME) selaras dengan prinsip ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar.
Menurut kementerian, pelaburan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekosistem perladangan dan komoditi Malaysia. Penggunaan sisa sawit sebagai bahan mentah utama turut membuktikan keupayaan industri sawit negara menyumbang secara signifikan kepada agenda penyahkarbonan sektor penerbangan global.
Selain menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon, projek ini dijangka mewujudkan lebih daripada 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, sekali gus memberikan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Penubuhan loji SAF ini adalah selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030).
Kementerian Perladangan dan Komoditi menegaskan komitmen untuk terus menyokong pembangunan inisiatif bernilai tambah berasaskan biojisim sawit dan sisa agrikomoditi.
Usaha berterusan ini dijangka dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab biobahan api penerbangan lestari pada peringkat serantau, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang mampan dan berdaya saing.