Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Washington – Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak mengadakan kunjungan hormat ke atas Deputy Under Secretary for Trade and Foreign Agricultural Affairs, United States Department of Agriculture (USDA), Puan Michelle Bekkering pada 20 Januari 2026 sempena lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat (AS) dari 17 Januari 2026 hingga 24 Januari 2026.

Pertemuan yang berlangsung di Washington, D.C. itu merupakan yang terkini dalam siri perbincangan peringkat tertinggi antara KPKM dengan USDA bagi memperkukuh kerjasama teknikal, serta meningkatkan tahap kepercayaan bersama bagi memastikan keselamatan makanan dan kelancaran perdagangan produk pertanian antara Malaysia dengan AS.

Kerjasama tersebut turut diperkukuh susulan pemeteraian Agreement on Reciprocal Trade (ART) pada 26 Oktober 2025 yang menjadi asas penting dalam memperluas akses pasaran dan memudahkan aliran perdagangan dua hala produk pertanian.

Dalam sesi pertemuan berkenaan, YBhg. Datuk Seri Isham turut meneroka potensi pasaran baharu bagi produk pertanian Malaysia, di samping membincangkan peluang kerjasama strategik dalam pemodenan sektor pertanian.

Perbincangan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti, mengukuhkan keterjaminan makanan dan menangani isu kelestarian alam sekitar.

Nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dengan AS direkodkan sebanyak RM14.68 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga September 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.

Delegasi Malaysia dalam lawatan berkenaan turut disertai oleh Setiausaha Bahagian Antarabangsa KPKM, Puan Siti Salwahanim; pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia, serta wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian Malaysia.

Pada akhir pertemuan, YBhg. Datuk Seri Isham turut menjemput penyertaan sektor industri AS dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan”.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi