Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Gajah – Karnival Keusahawanan Veteran ATM MADANI Negeri Perak 2026 yang akan berlangsung di Arena Square dari 23 Januari hingga 25 Januari 2026 bakal mengiktiraf sumbangan, serta peranan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam bidang keusahawanan, di samping memperkasakan ekonomi komuniti veteran selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Bertemakan “Usahawan Veteran Pemaju Ekonomi, Penjana Kesejahteraan”, program anjuran Persatuan Veteran ATM Negeri Perak dan Koperasi Pahlawan Perak Berhad ini akan menjadi platform penting untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan veteran kepada masyarakat umum.
Karnival ini akan diisi dengan pelbagai acara antaranya termasuklah pameran keusahawanan Veteran ATM, jualan produk oleh usahawan veteran ATM dan Badan Kebajikan Tentera Darat (BKTD), serta penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Pengunjung turut berpeluang menyertai pertandingan memasak, gubahan pencuci mulut dan karaoke, selain aktiviti senamrobik, serta sukaneka yang sesuai untuk seisi keluarga.
Selain itu, tayangan video pahlawan akan disediakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, di samping pemeriksaan kesihatan percuma untuk orang ramai.
Kaunter perkhidmatan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) turut dibuka bagi memberikan khidmat nasihat, serta maklumat berkaitan dengan kebajikan dan peluang latihan kepada veteran dan tanggungan mereka.
Program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, serta ceramah perdana.
Kemasukan ke karnival ini adalah percuma, menjadikannya peluang terbaik kepada masyarakat setempat untuk menyokong produk tempatan dan menghargai jasa, serta keupayaan usahawan veteran ATM.
Penganjur berharap karnival ini dapat menjadi pemangkin kesejahteraan ekonomi dan sosial veteran, selari dengan semangat “Sentiasa Berjuang”.