Diterbitkan pada 17 Januari 2026, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 kepada warga kementerian bertempat di Dewan Serbaguna Wisma Tani, Putrajaya dengan penekanan terhadap usaha memperkukuh kedaulatan makanan dan membina daya tahan negara sebagai asas utama pembangunan nasional.

Amanat bertemakan “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara” itu menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan sistem makanan negara kekal mampan, berdaya tahan dan berkeupayaan menghadapi cabaran global.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu turut membentangkan pencapaian signifikan sektor pertanian sepanjang tahun 2025 hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik kementerian.

Sektor agromakanan negara merekodkan nilai tambah sebanyak RM145.35 bilion, sekali gus menyumbang 11.4 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Bagi tempoh Januari 2025 hingga Oktober 2025, nilai perdagangan agromakanan negara turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila mencecah RM126.31 bilion dengan eksport bernilai RM48.74 bilion, manakala import sebanyak RM77.57 bilion.

Seiring dengan itu, imbangan perdagangan agromakanan negara menunjukkan trend pemulihan positif apabila jurang defisit berjaya dikurangkan kepada RM28.83 bilion berbanding dengan RM33.14 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.

Antara kejayaan utama yang direkodkan KPKM sepanjang tahun 2025 termasuklah pembangunan industri padi menerusi pelaksanaan Program SMART SBB (Sawah Berskala Besar) yang melibatkan penyertaan 18,650 pesawah di 92 lokasi dengan keluasan melebihi 46,500 hektar, sekali gus meningkatkan hasil padi kepada enam tan metrik hingga tujuh tan metrik sehektar.

Bagi industri jagung bijirin, kementerian menyasarkan pengeluaran tempatan sebanyak 1.25 juta tan metrik dengan matlamat mengurangkan kebergantungan import sehingga 30 peratus menjelang tahun 2040.

Dalam sektor ruminan pula, pelaksanaan ladang satelit di tujuh negeri telah menyumbang kepada pengeluaran melebihi 45,000 ekor ternakan.

Sektor perikanan mencatatkan peningkatan KDNK berjumlah RM9.18 bilion dengan sumbangan RM6.05 bilion daripada perikanan tangkapan dan RM3.14 bilion daripada akuakultur.

Program penanaman bawang berskala besar turut menunjukkan perkembangan positif apabila melibatkan keluasan tanaman seluas 157 hektar dengan pengeluaran melebihi 54 tan metrik, serta penyertaan 125 pengusaha tempatan.

Pada masa yang sama, tanaman nanas terus menjadi antara penyumbang penting ekonomi negara dengan menjana pendapatan sekitar RM1 bilion melalui pengeksportan 1,735 kontena nanas segar dan produk nanas ke pasaran global, di samping peluasan kawasan bertanam seluas 18,922 hektar.

Kementerian turut memperkukuh pelibatan golongan muda dalam sektor pertanian melalui kelulusan bantuan geran Program Agropreneur Muda berjumlah lebih daripada RM23 juta yang memanfaatkan seramai 843 usahawan tani muda di seluruh negara.

Selain itu, usaha memperkasakan institusi latihan pertanian telah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan kepada 81.23 peratus berbanding dengan 78.1 peratus pada tahun 2024.

Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pula merekodkan kehadiran lebih daripada 504,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM15.59 juta.

Program Jualan Agro MADANI turut mencatatkan kejayaan apabila sebanyak 3,738 program berjaya dilaksanakan di seluruh negara yang melepasi sasaran asal 3,500 program dengan pencapaian 106.8 peratus.

Melangkah ke tahun 2026, kementerian akan menerajui pendekatan “Pelaburan Berbalik” bagi melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara dengan tumpuan kepada empat industri utama, iaitu ruminan (lembu), beras, susu, serta benih dan baka.

Selain itu, kementerian turut memberikan penekanan terhadap pemerkasaan pelaburan domestik sebagai pelengkap utama dalam meningkatkan kapasiti dan daya saing sektor agromakanan negara.

YB Menteri turut menggariskan empat tumpuan utama KPKM bagi tahun 2026, iaitu pengukuhan industri padi melalui peningkatan pengeluaran padi dan beras secara mampan, dan pengukuhan industri ruminan dengan memastikan kecukupan bekalan daging lembu dan kerbau.

Selain itu tumpuan diberikan terhadap pemantapan ekosistem industri hiliran dengan mengurangkan pembaziran makanan sebanyak lima peratus dan pengukuhan infrastruktur pertanian dengan melaksanakan pendekatan “Membina, Menaik taraf dan Menyelenggara” (3M).

Dalam ucapan akhirnya, YB Menteri menyeru seluruh warga kementerian agar terus bergerak secara lebih strategik, berasaskan data dan berpaksikan kepentingan negara, selain menjunjung tinggi prinsip integriti, kejujuran dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin; Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak; serta pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan dengannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi