Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Perdagangan dan Hal Ehwal Pertanian Antarabangsa, United States Department of Agriculture (USDA), Tuan Luke Lindberg sempena misi perdagangan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang berlangsung dari 14 Januari 2026 hingga 15 Januari 2026.
Sesi pertemuan tersebut turut disertai oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Edgard D. Kagan, sekali gus mencerminkan hubungan diplomatik dan kerjasama strategik yang erat antara kedua-dua negara dalam sektor pertanian dan agromakanan.
Perbincangan tertumpu pada potensi peluasan perdagangan pertanian dua hala, serta penerokaan peluang kerjasama teknikal dan pelaburan bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian negara.
Antara bidang yang diberi penekanan termasuklah penggunaan mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih, serta penerapan teknologi Internet benda (IoT).
Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan USDA bagi memodenkan pengeluaran jagung bijirin (grain corn) bagi kegunaan makanan ternakan, di samping memperkukuh keupayaan pengeluaran sektor agromakanan negara melalui penerapan teknologi moden.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan perancangan lawatan kerja pegawai KPKM ke AS yang akan melibatkan penyertaan wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Pertanian (DOA) dari 17 Januari 2026 hingga 24 Januari 2026. Lawatan berkenaan bertujuan mempertingkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam aspek sanitari dan fitosanitari.
Nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dengan AS telah direkodkan sebanyak RM14.68 bilion bagi tempoh Januari 2025 hingga September 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.
Pertemuan ini memperkukuh komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperluas kerjasama strategik sektor pertanian sejajar dengan usaha Malaysia meningkatkan daya tahan sistem makanan, serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Yang turut hadir sama dalam sesi ini ialah Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Seri Isham Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Dato’ Sri Norazman Ayob; Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi, serta pegawai kanan KPKM.