Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Gumut – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Chan Foong Hin mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek Tanaman Nanas MD2 di Sungai Gumut, Selangor
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi memperkukuh pembangunan industri nanas negara yang dikenal pasti sebagai antara komoditi strategik bernilai tinggi.
Usaha berkenaan bertujuan menilai kemajuan projek dan memperkukuh rantaian nilai industri nanas sejajar dengan usaha meningkatkan pendapatan pengusaha dan memperluas pasaran eksport komoditi tersebut.
Industri nanas berpotensi menjana pendapatan pengusaha sehingga RM9,000 sebulan melalui pengurusan ladang secara moden dan berdisiplin, di samping menyumbang kepada sasaran nilai eksport negara sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2027.
Sehingga kini, nanas Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Timur Tengah, China dan Eropah dengan jumlah eksport mencecah 76,000 tan metrik.
Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri turut merasmikan gimik pecah tanah bagi pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) yang dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan rantaian nilai industri nanas daripada peringkat ladang hingga pasaran.

Projek yang dilaksanakan oleh Premium Pineapple Sdn. Bhd. itu melibatkan keluasan keseluruhan 270 ekar dengan penanaman semasa meliputi 16 hektar melibatkan sebanyak 740,432 pokok nanas MD2, serta mencatatkan kadar kelangsungan hidup tanaman melebihi 97 peratus.
Negeri Selangor dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab agromakanan moden berikutan kelebihan dari segi logistik dan akses pasaran dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Bagi menyokong pelaksanaan projek berkenaan, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, termasuk bekalan benih dan input pertanian bernilai RM221,800, geran pembinaan setor ladang sebanyak RM30,000 dan khidmat bimbingan teknikal kepada pengusaha.
Usaha tersebut turut merangkumi perancangan program pembangunan komuniti dan pelibatan golongan belia menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), serta Agropreneur NextGen melalui Program Geran Agropreneur Muda bagi memastikan kelangsungan industri nanas secara inklusif dan mampan.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama LPNM dan pihak swasta bagi membangunkan industri nanas negara, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan dan pertumbuhan sektor agromakanan bernilai tinggi.

Lawatan kerja rasmi ini turut dihadiri oleh Pengerusi LPNM, YBrs. Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, YB Puan Pang Sock Tao; Ketua Pengarah LPNM, YBrs. Encik Mohd Khairuzamri M. Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Premium Pineapple Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Amrul Hisyam Alias; serta pegawai kanan KPKM dan jabatan, serta agensi berkaitan dengannya.