Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperkukuh komitmen kerajaan bagi membasmi kemiskinan bandar menerusi pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Menurut KPKT, program berkenaan memberikan tumpuan terhadap pemerkasaan golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) melalui latihan keusahawanan dan pembangunan kemahiran secara bersasar.
Melalui pelaksanaan Program PEKB, peserta dibimbing untuk menjana pendapatan yang lebih mampan dalam bidang yang diceburi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib berkata, Program PEKB berperanan sebagai rangka pembinaan keupayaan bagi membantu peserta keluar daripada belenggu kemiskinan dan seterusnya berdikari tanpa kebergantungan berterusan pada bantuan kerajaan.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB Tahun 2026 kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) peringkat KPKT.
Menurut KPKT, pelaksanaan Program PEKB melalui kerjasama strategik bersama-sama NGO terbukti sebagai pendekatan yang efektif dan progresif dalam merealisasikan hasrat kerajaan MADANI untuk membendung isu kemiskinan tegar di kawasan bandar.
Di bawah RMK-12, kerajaan telah menzahirkan komitmen konsisten terhadap agenda pembasmian kemiskinan bandar melalui pendekatan yang berasaskan hasil dan impak.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 5,424 peserta daripada golongan B40 telah menerima manfaat secara langsung dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM55 juta yang disalurkan secara berfasa dan berfokus.
KPKT turut memaklumkan bahawa pelaksanaan program ini telah menunjukkan impak positif. Antaranya termasuklah kejayaan peserta PEKB PEKB 2025, Encik Muhamad Hakimi Shakir dari Kuantan, Pahang yang sebelum ini merupakan peniaga kecil di pasar malam dengan menjual produk makanan “baby pancake”.
Selepas menyertai program PEKB, beliau berjaya membuka Aloha Bites Café di Pantai Anak Air, Kuantan dan kini mampu menjana pendapatan lima angka sebulan.
Selain itu, seorang lagi peserta dari Tawau, Sabah, Encik Amliyansha atau lebih dikenali sebagai John yang mengikuti kursus pembaikan telefon bimbit di bawah Program PEKB 2025 turut berjaya menubuhkan syarikat pembaikan dan pembekalan peranti mudah alih dengan pendapatan bulanan melebihi lima angka.
Menurut KPKT, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir, pihaknya bersama-sama rakan strategik NGO kekal komited dalam melahirkan lebih banyak usahawan menerusi Program PEKB.
Langkah tersebut penting bagi mengurangkan tekanan kemiskinan bandar yang semakin membelenggu, sekali gus menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup komuniti di bandar.
Bagi tahun 2026, sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini yang dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 1,100 peserta di seluruh negara.
KPKT berkata, pelaksanaan program tersebut merangkumi latihan dan bimbingan berstruktur oleh NGO pelaksana yang dilantik. Peserta dilatih dalam bidang berpotensi tinggi yang dikenal pasti daripada 15 bidang keusahawanan di bawah Program PEKB selaras dengan keperluan pasaran dan peluang ekonomi semasa.
Secara keseluruhan, pelaksanaan Program PEKB 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui KPKT dalam memperkasakan golongan sasar secara menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.
Melalui pendekatan berteraskan RMK-13, Agenda Kesejahteraan Rakyat dan prinsip Kerajaan MADANI, KPKT yakin Program PEKB akan terus menjadi pemangkin kepada usaha menoktahkan kemiskinan bandar secara lestari dan memperkukuh kesejahteraan rakyat.