Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan komitmennya untuk memacu reformasi perburuhan, melindungi kebajikan pekerja dan memperkukuh pembangunan kemahiran negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, bagi tahun 2026, KESUMA akan memberikan tumpuan pada pelaksanaan Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2026–2030, reformasi terhadap 26 undang-undang buruh dan mempercepat pendigitalan perkhidmatan utama, termasuk Mahkamah Buruh dan sistem Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan penyampaian yang lebih pantas, telus dan berkesan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 yang berlangsung di Menara PERKESO, Putrajaya.
Menurut beliau, dalam aspek perlindungan pekerja, KESUMA akan melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum, memperluas pelaksanaan Skim Lindung 24 jam, memperkukuh keharmonian perusahaan menerusi Indeks Keharmonian Industri Nasional, serta memperkasakan peranan kesatuan sekerja dan keselamatan, dan kesihatan pekerjaan.
Sementara itu, agenda peningkatan kemahiran akan terus dipacu melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030. Usaha ini turut disokong melalui peluasan latihan bersasar, termasuk peruntukan tambahan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi pekerja gig e-panggilan dan p-panggilan, selain pengukuhan rantaian bakat negara melalui inisiatif seperti Geran LIKES TalentCorp dan pembangunan sektor ekonomi pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu dan seluruh warga KESUMA atas pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2025.
Antara pencapaian utama yang direkodkan termasuklah pelaksanaan penuh Gaji Minimum RM1,700 yang memberikan manfaat kepada lebih daripada 4.4 juta pekerja, peluasan perlindungan kepada 1.2 juta pekerja gig menerusi penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 dan pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO yang kini melindungi 9.6 juta pencarum.
Beliau turut memaklumkan bahawa kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun dengan lebih daripada 100,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan hasil kestabilan pasaran buruh dan pelaksanaan dasar yang bersasar.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa setiap dasar yang digerakkan KESUMA berpaksikan prinsip memudah cara rakyat, memastikan setiap pekerja menikmati kehidupan yang bermaruah dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab sumber manusia berdaya saing pada peringkat antarabangsa.