Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi digital bagi memudahkan urusan percukaian pembayar cukai. 

Dalam satu kenyataan, HASiL bakal melancarkan aplikasi WhatsApp dan platform baharu carian maklumat mulai 15 Januari 2026 (Khamis). Perkhidmatan baharu ini merupakan penambahbaikan terhadap penyampaian maklumat kepada pembayar cukai. 

Maklumat berkaitan dengan HASiL boleh didapati melalui aplikasi WhatsApp menerusi penyampaian maklumat penting secara sehala merangkumi pemakluman percukaian, peringatan bayaran, notifikasi berkaitan dengan tunggakan, serta pematuhan cukai yang akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan HASiL. 

Profil WhatsApp yang digunakan oleh HASiL ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (03-89111000).

Selain itu, HASiL turut memperkenalkan Platform Carian Maklumat yang ditambah baik bagi memudahkan pencarian maklumat percukaian.

Platform dikenali sebagai Tanya HAFY akan menggantikan platform terdahulu, iaitu Tanya@HKC yang boleh diakses melalui portal rasmi HASiL. Pencarian maklumat melalui platform Tanya HAFY adalah secara akses kendiri yang lebih sistematik, relevan dan efisien. 

Sehubungan dengan itu, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai agar memastikan maklumat nombor telefon sentiasa dikemas kini melalui e-Kemaskini dalam portal MyTax bagi memastikan maklumat penting dapat disampaikan dengan lebih cepat, mudah dan berkesan kepada pembayar cukai. 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi