Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited memperkukuh pelaksanaan e-Invois menerusi Sesi Libat Urus HASiL bersama-sama Persatuan Perdagangan yang menghimpunkan 21 wakil dewan perniagaan dan persatuan perdagangan di sekitar Lembah Klang.

Sesi yang berlangsung di Dewan Bangsawan, Menara HASiL menjadi platform perbincangan dua hala bagi membolehkan isu dan cabaran percukaian dibincangkan secara langsung bersama-sama komuniti perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, pendekatan libat urus secara berterusan amat penting bagi memastikan pelaksanaan e-Invois dapat dilaksanakan secara lebih efektif, efisien dan responsif terhadap keperluan semasa perniagaan.

Menurut beliau, dewan perniagaan dan persatuan perdagangan berperanan sebagai rakan strategik HASiL dalam memperluas hebahan, meningkatkan kesedaran, serta memperkukuh usaha pendidikan berkaitan dengan e-Invois kepada ahli masing-masing dan industri secara keseluruhan.

Pelaksanaan e-Invois di Malaysia telah bermula secara berfasa sejak 1 Ogos 2024 dan kini sedang menuju ke Fasa 4 yang melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.

Sehubungan dengan itu, HASiL menekankan kepentingan untuk terus mendengar pandangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan objektif pelaksanaan e-Invois dapat difahami serta diterima dengan baik.

Mengulas inisiatif kerajaan, Datuk Dr. Abu Tariq turut memaklumkan bahawa peningkatan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta ke bawah memberi ruang kepada PMKS untuk memperkemaskan pengurusan transaksi perniagaan mereka. Namun begitu, kumpulan yang dikecualikan ini digalakkan melaksanakan e-Invois secara sukarela bagi mendigitalkan operasi perniagaan, serta meningkatkan kecekapan operasi.

Sebagai rekod, sehingga 22 Disember 2025, lebih daripada 820.5 juta e-Invois telah dikeluarkan dengan penyertaan lebih daripada 111,600 orang pembayar cukai. Penyertaan ini merangkumi pembayar cukai mandatori Fasa 1 hingga Fasa 3, serta pembayar cukai Fasa 4 yang melaksanakan e-Invois secara sukarela, sekali gus mencerminkan tahap penerimaan dan pematuhan yang amat memberangsangkan dalam kalangan perniagaan di Malaysia.

Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois, HASiL menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Portal MyInvois dan Aplikasi Mudah Alih MyInvois, MyInvois e-POS, fungsi Kod QR Pembayar Cukai, Carian Nombor Pengenalan Cukai (TIN), serta kaunter perkhidmatan e-Invois di 35 pejabat HASiL di seluruh negara.

HASiL akan terus mempergiat aktiviti kesedaran dan pendidikan e-Invois, serta memastikan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan dilaksanakan secara berterusan bagi menyokong pembinaan ekosistem percukaian dan perniagaan yang progresif, inklusif dan mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi