Diterbitkan pada 20 Disember 2025, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi dalam meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, pematuhan, serta tadbir urus ekosistem kewangan negara.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Menara HASiL disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dan Pengerusi Eksekutif SC, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi, serta disaksikan pengurusan tertinggi kedua-dua agensi.

Kerjasama strategik ini menjadi landasan awal ke arah pengukuhan usaha antara agensi dalam meningkatkan tahap pematuhan cukai, serta memastikan pasaran modal yang adil, telus dan teratur.

Dalam ucapannya, Datuk Dr. Abu Tariq berkata, HASiL menyambut baik kerjasama berkenaan yang akan memperkukuh perkongsian maklumat dan keupayaan teknikal antara kedua-dua pihak bagi menyokong pelaksanaan audit, pemantauan pematuhan, serta tindakan penguatkuasaan yang lebih tepat dan berimpak tinggi.

Sementara itu, Dato’ Mohammad Faiz menegaskan kerjasama antara SC dengan HASiL amat signifikan dalam mendepani landskap jenayah kewangan yang semakin kompleks. Menurutnya, penguatkuasaan yang berkesan memerlukan pendekatan merentasi agensi penguatkuasaan undang-undang, termasuk HASiL bagi mengesan, menghalang dan mengambil tindakan terhadap kes kewangan melibatkan pengelakan cukai, serta penyalahgunaan pasaran modal.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) HASiL, YBhg. Dato’ Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Eksekutif Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi SC, YBhg. Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SC, YBrs. Tuan Budiman Lutfi Mohamed; Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling HASiL, YBrs. Encik Muhammad Azhari Tamrin @ Thamrin, serta barisan pengurusan kanan kedua-dua agensi.

Pemeteraian MoU ini mencerminkan iltizam bersama HASiL dan SC dalam memperkukuh kerjasama antara agensi melalui penyelarasan strategik, pengoptimuman penggunaan data dan pelaksanaan inisiatif bersepadu bagi menyokong keberkesanan sistem percukaian, serta agenda pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi