Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) akan dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Januari 2026 sebagai langkah pembaharuan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan duti setem, serta menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar duti.
Selaras dengan pelaksanaan tersebut, sistem STAMPS sedia ada akan ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2025 dan semua urusan penyeteman akan dilaksanakan melalui sistem e-Duti Setem mulai 1 Januari 2026.
Sebagai persediaan kepada peralihan ini, sistem e-Duti Setem boleh diakses lebih awal melalui portal MyTax mulai 17 Disember 2025. Pengguna STAMPS sedia ada dibenarkan log masuk ke portal MyTax menggunakan ID dan kata laluan individu MyTax masing-masing.
Langkah ini memberikan peluang kepada pembayar duti, serta ejen yang dilantik untuk menjalankan pengujian dan membuat persediaan sebelum sistem STAMPS ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2025. Akses awal tersebut bertujuan memastikan proses peralihan kepada sistem e-Duti Setem dapat dilaksanakan secara lancar, teratur dan berpusat.
STSDS akan dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Januari 2026 dengan ketetapan yang berikut:
Melalui pelaksanaan STSDS, pembayar duti atau ejen yang dilantik dibenarkan menaksir duti setem secara kendiri berdasarkan surat cara tertentu dengan pengiraan duti dibuat secara masa nyata mengikut peruntukan dalam Jadual Pertama, Akta Setem 1949. Namun demikian, permohonan penyeteman surat cara yang melibatkan pelepasan dan pengecualian akan ditaksir secara rasmi oleh Pemungut Duti Setem.
Mulai 1 Januari 2026, semua pembayar duti atau ejen hendaklah mengakses perkhidmatan Duti Setem melalui portal MyTax di MyTax > Perkhidmatan ezHasil > Duti Setem > e-Duti Setem.