Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelarasan harga bagi beberapa pas perjalanan Rapid KL yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Menurut Prasarana, pelarasan ini dibuat selaras dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam, serta keperluan memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan untuk jangka masa panjang.

Hal ini juga merupakan pelarasan harga pertama sejak tahun 2009 mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan, di samping komitmen berterusan untuk mengekalkan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan.

Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan produk, Prasarana memperkenalkan Rapid Bulanan, iaitu pas perjalanan 30 hari baharu yang menawarkan perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL pada harga RM150 untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia.

Bagi pas Rapid Kota yang khusus untuk warganegara Malaysia, harga baharu ditetapkan pada RM10 bagi Pas Satu Hari dan RM25 bagi Pas Tiga Hari, manakala Pas Dua Hari dimansuhkan. Sementara itu, Rapid Kembara akan dijual pada harga RM25 bagi Pas Satu Hari dan RM55 bagi Pas Tiga Hari dengan Pas Dua Hari turut tidak lagi ditawarkan. Harga baharu Rapid Keluarga pula ditetapkan pada kadar RM30.

Prasarana turut memaklumkan bahawa diskaun Rapid Pelajar hanya terpakai kepada pelajar warganegara Malaysia. Namun begitu, bagi pelajar bukan warganegara yang masih memiliki pas sedia ada, diskaun 50 peratus akan kekal sehingga pas tamat tempoh atau 31 Disember 2026, mengikut mana-mana yang lebih awal. Permohonan baharu Rapid Pelajar mulai 1 Januari 2026 hanya dibuka kepada warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Prasarana menegaskan bahawa My50, serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra kekal tanpa sebarang perubahan harga bagi memastikan pengangkutan awam terus mampu milik dan inklusif.

Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana, Ashok Panchalingam berkata, pelarasan harga dibuat hasil kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian perkhidmatan dan kos operasi semasa. Menurutnya, walaupun berlaku pelarasan harga, pas Rapid KL masih menawarkan nilai terbaik melalui penjimatan kos, perjalanan tanpa had dan pengalaman mobiliti yang dipertingkatkan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi