Diterbitkan pada 4 Disember 2025, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos 2026 hingga 6 September 2026 mengetengahkan tema “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan”.

Pameran ini menampilkan visi Malaysia untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang lebih berdaya tahan, berimpak tinggi dan berasaskan teknologi.

Majlis Prapelancaran MAHA 2026 dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam satu majlis yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Majlis prapelancaran ini menjadi platform awal untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan penyertaan dan memperkukuh komitmen rakan strategik, termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan media ke arah penganjuran MAHA 2026 yang lebih berdaya saing.

Pada majlis yang sama, logo, sasaran dan maskot rasmi MAHA 2026 turut diperkenalkan, disusuli sesi pelepasan kenderaan Road to MAHA 2026.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), penganjuran MAHA 2026 menegaskan iltizam negara untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan mampan, di samping memacu pertumbuhan nilai ekonomi baharu melalui inovasi dan pendigitalan.

Agropelancongan terus menjadi komponen penting dalam menghubungkan komuniti, memperkukuh warisan desa dan mempamerkan kepelbagaian budaya tempatan. MAHA 2026 bakal menghimpunkan petani, usahawan, pelabur dan penginovasi sebagai sebahagian usaha memperluas jaringan perniagaan dan mentransformasikan industri pertanian negara.

Pengunjung MAHA 2026 turut berpeluang menikmati pelbagai tarikan seperti pameran bunga, agrotrek, pesta makanan, pertandingan agro, pertunjukan laser, persembahan air, sukan rakyat, rewang warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF), sesi santai kopi, usahawan tani muda, “kiddies wonderland”, agrosafari, taman burung dan pelbagai aktiviti lain.

MAHA 2026 juga membuka ruang untuk mengetengahkan teknologi pertanian terkini, produk dan perkhidmatan agromakanan kepada pasaran yang lebih luas. Usahawan dan pelabur berpeluang meneroka dagangan, menjalin kolaborasi teknologi, membangunkan pasaran import–eksport, serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan inovatif yang menyokong pertumbuhan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agro.

Penyertaan dalam MAHA 2026 bukan sahaja membantu memperkukuh jaringan pelanggan sedia ada, tetapi turut membuka peluang membina hubungan antarabangsa yang strategik. Pameran ini memberikan kelebihan kepada peserta untuk memahami trend pasaran terkini, seterusnya meningkatkan daya saing dalam industri agromakanan.

Bagi tahun 2026, MAHA menyasarkan kehadiran sebanyak empat juta pengunjung sepanjang pameran, RM8 bilion nilai pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MOA), RM58 juta nilai transaksi jualan, penyertaan lebih 2,000 pempamer, serta pelibatan 800,000 belia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi