Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Fitch Ratings (Fitch) mengesahkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan stabil.
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan pengesahan ini didorong oleh prestasi kukuh negara dalam penunjuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melebihi median global.
Skor ESG yang tinggi disumbangkan, terutamanya oleh faktor kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan politik.
Fitch turut menekankan bahawa kestabilan politik menjadi asas kepada peningkatan keyakinan dasar yang seterusnya memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan mengukuhkan daya tahan fiskal negara.
Agensi berkenaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2025, menghampiri tahap tertinggi dalam julat ramalan rasmi kerajaan, iaitu antara empat peratus hingga 4.8 peratus.
Keadaan pasaran buruh juga dijangka kekal positif hingga tahun 2026 dengan kadar pengangguran pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, serta pertumbuhan gaji yang menyokong perbelanjaan isi rumah.
Momentum pertumbuhan ekonomi turut diperkukuh oleh pelaburan modal dalam teknologi berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) dan pertumbuhan pelaburan teknologi yang mencatatkan peningkatan 13.2 peratus bagi sembilan bulan pertama 2025.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif yang mencorakkan sebahagian besar tahun 2025, sebelum mencapai persetujuan yang memberikan manfaat bersama bagi menyokong eksport dan kedudukan ekonomi negara.
Beliau menegaskan, meskipun persekitaran global kekal mencabar, kerajaan komited meneruskan pelaksanaan reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk memperkukuh asas ekonomi negara.
MOF memaklumkan Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kerangka fiskal dan tadbir urus, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850], serta Akta Perolehan Kerajaan 2025.
Langkah ini disokong pula oleh penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025 untuk meningkatkan kualiti kawal selia dan keteguhan institusi.
Fitch turut mengesahkan defisit Kerajaan Persekutuan diunjurkan mengecil kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2025 berbanding dengan 5.5 peratus pada tahun 2022.
Pencapaian tersebut dipacu oleh peningkatan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pelaksanaan reformasi subsidi.
Defisit dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun 2026 dan sasaran tiga peratus di bawah Akta 850 diyakini mampu dicapai menjelang tahun 2028 sekiranya rasionalisasi subsidi dan peluasan asas hasil diteruskan.
Menurut MOF, kerajaan akan memantapkan lagi pengurusan fiskal melalui peluasan hasil dan pengoptimuman perbelanjaan, di samping meneruskan langkah rasionalisasi subsidi bagi membendung ketirisan dan memastikan penggunaan sumber negara lebih efisien.
Penjimatan hasil daripada reformasi ini akan disalurkan bagi menyokong pewujudan pekerjaan berkemahiran dan meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global. Hal ini sekali gus memastikan ekonomi kekal berdaya tahan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.