Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Program INTAN Mind Share (IMS) 2025 membuka tirai dengan menekankan kepentingan kerjasama awam–swasta sebagai pemacu utama dalam menyokong agenda Ekonomi MADANI dan pembangunan negara, sekali gus mengukuhkan penyampaian perkhidmatan awam secara lebih berimpak dan mampan.
Program anjuran bersama-sama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), serta Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri itu menghimpunkan barisan tokoh perkhidmatan awam, pemimpin industri dan pemain utama sektor korporat bagi membincangkan hala tuju perkongsian awam-persendirian (PPP) dalam konteks pembangunan masa hadapan Malaysia.
Majlis dimulakan dengan paparan rakaman ucap utama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menegaskan bahawa IMS berfungsi sebagai platform strategik untuk menyatukan kepakaran kedua-dua sektor.
Menurut Tan Sri Shamsul Azri, sejak pelancaran Pelan Induk Kerjasama Awam–Swasta 2030 (PIKAS 2030) pada tahun 2024, pelan tersebut menjadi kompas menyeluruh untuk menyelaraskan pelibatan sektor kerajaan dan sektor swasta.
“PIKAS 2030 memberikan fokus kepada langkah pengukuhan dasar, penstrukturan mekanisme pelaksanaan, serta pembangunan rangka kerja kerjasama yang lebih responsif dan berdaya tahan,” ujar beliau.
“Rangka pelan yang berteraskan tiga objektif, empat teras strategi dan 17 inisiatif utama itu bukan sahaja membuka ruang kolaborasi yang lebih luas, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi melalui pemacuan pelaburan, peningkatan inovasi dan perkongsian teknologi,” tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama awam–swasta sebagai elemen kritikal dalam kesinambungan pembangunan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh kapasiti infrastruktur dan mempercepat penyampaian perkhidmatan.
Tan Sri Syamsul Azri menjelaskan bahawa PPP bukanlah konsep baharu dan telah dilaksanakan sejak tahun 1980-an melalui Dasar Persyarikatan Malaysia (1981) dan Dasar Penswastaan (1983). Namun begitu, beliau menambah, evolusi semasa termasuklah penggunaan model pembiayaan yang lebih kompleks, penyertaan industri berteknologi tinggi dan pelaksanaan projek berskala besar membentuk landskap PPP yang lebih matang.
“Untuk rekod, sejak penubuhan UKAS pada tahun 2009 sehingga Ogos 2025, sebanyak 188 perjanjian PPP telah ditandatangani dengan nilai pelaburan swasta mencecah RM231 bilion yang menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan wilayah, serta peningkatan kapasiti industri nasional,” ujar beliau.
Dalam menghadapi persepsi bahawa PPP membebankan kerajaan, Tan Sri Syamsul Azri menegaskan bahawa tanggapan tersebut tidak tepat. Sebaliknya, PPP berfungsi sebagai mekanisme yang mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan, membolehkan tumpuan kewangan diberikan kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Beliau menggariskan tiga kelebihan utama PPP, iaitu pembiayaan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan ditanggung sektor swasta; kerajaan memperoleh akses kepada kepakaran teknologi, serta amalan terbaik industri dan pemindahan risiko pembangunan kepada rakan strategik swasta bagi memastikan projek disiapkan dengan lebih cepat, cekap dan berkualiti.
Mengulas tentang hala tuju negara, beliau menegaskan bahawa semua projek PPP harus sejajar dengan Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), selain memenuhi keperluan kementerian dan agensi pelaksana.
Beliau turut menekankan kepentingan analisis nilai untuk wang (value for money) bagi memastikan setiap pelaburan yang dibuat membawa manfaat optimum kepada rakyat dan negara.
Menyoroti kembali PIKAS 2030, Tan Sri Syamsul Azri memaklumkan bahawa pelan tersebut menggariskan sasaran besar negara, termasuklah meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion, menjanakan 900,000 peluang pekerjaan baharu, serta menyumbang RM82 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
“Di bawah Strategi C4.3, PIKAS 2030 turut memperkukuh peranan kerjasama awam–swasta dalam kerangka RMK-13 sebagai tunjang pembangunan infrastruktur generasi baharu,” jelas beliau.
Majlis perasmian disusuli forum dengan tajuk yang sama dipengerusikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, dengan barisan panel terdiri daripada Ketua Pengarah UKAS, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Muhammad Razman Abu Samah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaafar; serta Ketua Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.