Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKwasa Damansara – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Encik Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) dan Encik Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan, KWSP memaklumkan bahawa Encik Mohamad Hafiz dilantik menggantikan Puan Rohaya Mohammad Yusof yang telah menerajui Bahagian Pelaburan lebih daripada lima tahun.
Beliau telah berkhidmat di KWSP sejak 2008 dan memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan meliputi portfolio Ekuiti Persendirian, Pasaran Persendirian, Pasaran Modal dan Hartanah.
Encik Mohamad Hafiz turut berpengalaman sebagai Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn. Bhd. dari tahun 2020 hingga tahun 2021, serta mempunyai lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam bidang perakaunan, ekuiti persendirian dan pendapatan tetap.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perakaunan dan Kewangan) dari London School of Economics and Political Science, Felo Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), pemegang Piagam Chartered Financial Analyst (CFA charterholder) dan alumni Advanced Management Programme, Harvard Business School.
“Pengalaman luas beliau merentasi Bahagian Kewangan dan Pelaburan, digabungkan dengan pengetahuan institusi yang mendalam menjadikan beliau calon yang tepat untuk menerajui strategi pelaburan KWSP ke hadapan,” jelas KWSP.
Dalam perkembangan sama, KWSP turut mengumumkan pelantikan Encik Ahmad Rizal yang sebelum ini mengetuai Jabatan Kewangan sebagai CFO baharu menggantikan Encik Mohamad Hafiz.
Beliau merupakan akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun, selain memegang Ijazah Sarjana Kewangan dari University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Royal Melbourne Institute of Technology.
Encik Ahmad Rizal berpengalaman luas dalam penilaian pelaburan, kewangan korporat dan pengurusan kewangan. Sebelum menyertai KWSP, beliau pernah berkhidmat sebagai CFO di PLUS Malaysia Bhd. dan memegang beberapa jawatan kanan di Istanbul Sabiha Gökçen International Airport, Malaysia Airports Holdings Bhd., Khazanah Nasional Bhd. dan Axiata Group Bhd..
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, YBrs. Encik Ahmad Zulqarnain Onn dalam kenyataan sama menyambut baik pelantikan kedua-dua pegawai kanan tersebut.
Beliau yakin pengalaman, kepimpinan dan pemahaman mendalam Encik Mohamad Hafiz terhadap falsafah pelaburan jangka masa panjang KWSP akan mengukuhkan usaha menjanakan pulangan mampan kepada ahli.
“Kepimpinan dan kepakaran kewangan Encik Ahmad Rizal pula akan terus memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus KWSP,” ujarnya.
Pada masa yang sama, KWSP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Rohaya atas sumbangan selama 17 tahun yang disifatkan telah memperkukuh keupayaan pelaburan KWSP dan membantu melindungi simpanan persaraan ahli dalam tempoh yang mencabar dan transformasi.
“Kami mengucapkan terima kasih yang setulusnya dan mendoakan kejayaan beliau dalam fasa seterusnya.”