Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSepang – Pembukaan Malaysia Durian (Tropical Fruit) Trade and Export Center (MADTEC), fasiliti eksport berteknologi tinggi memperkukuh ekosistem pengeksportan buah-buahan tropika, khususnya durian ke pasaran antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu merasmikan fasiliti tersebut di Pusat Rawatan Eksport, Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada hari ini.
MADTEC berfungsi sebagai pusat rawatan, penyimpanan, pemprosesan dan pemeriksaan kualiti bagi memastikan buah-buahan memenuhi piawaian global sebelum dieksport.
Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menegaskan bahawa industri durian Malaysia terus berkembang pesat dengan menerima permintaan tinggi dari luar negara, terutamanya bagi varieti premium seperti Musang King, Black Thorn dan D24.
Malaysia merekodkan nilai eksport durian sebanyak RM1.18 bilion pada tahun lalu dengan China kekal sebagai pasaran utama.
Beliau turut memuji inisiatif Tropika Makmur Manufacturing Sdn. Bhd. bagi membangunkan MADTEC yang membuka akses eksport kepada semua pengusaha, termasuk petani kecil. Kemudahan ini membolehkan petani memproses hasil secara moden tanpa perlu menanggung kos besar untuk membina kilang pemprosesan sendiri.
Lokasi MADTEC yang strategik berhampiran KLIA, serta sokongan logistik menjadikannya hab penting dalam rantaian nilai durian negara, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global.
Usaha tersebut turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memperkukuh sektor agromakanan melalui penyediaan kemudahan moden, penyertaan inklusif dan peningkatan nilai tambah.
Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YBhg. Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pengarah, Jabatan Pertanian, YBhg Dato’ Nor Sam Alwi, serta pengarah kanan dari jabatan dan agensi di bawah KPKM.