Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Polyplas Sdn. Bhd., anak syarikat Ge-Shen Corporation Bhd. mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembuatan melalui perasmian sebuah kilang berteknologi tinggi.
Menurut kenyataan bersama syarikat tersebut dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pengembangan ini melibatkan pelaburan berjumlah RM24 juta bagi pembinaan kilang baharu tersebut, selain RM50 juta lagi diperuntukkan bagi pembelian mesin, serta automasi termaju.
Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa penambahan kapasiti dan teknologi tersebut dijangka meningkatkan kecekapan operasi, serta mempercepat penerimaan Revolusi Industri 4.0 dalam kalangan pengeluar tempatan. Langkah ini juga diyakini dapat mengukuhkah daya saing Malaysia dalam bidang pengeluaran yang berteraskan inovasi.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pengembangan baharu Polyplas mencerminkan kemampuan pemain tempatan untuk naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
Tambah beliau, melalui pelaburan strategik, koordinasi pengawalseliaan dan sokongan penasihat yang berterusan, MIDA berbangga dapat membantu syarikat tempatan seperti Polyplas dalam transformasi mereka ke arah operasi bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi.
Menurutnya, Polyplas telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara melalui pengkhususan dalam pembuatan komponen plastik berkualiti tinggi untuk sektor perindustrian, teknologi perubatan dan pengguna.
Pelaburan terbaharu itu juga sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberikan tumpuan pada pembuatan termaju, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pengukuhan kapasiti inovasi.
Beliau yakin bahawa pengembangan tersebut mampu mencetuskan inspirasi kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk merangkul inovasi dan meningkatkan keupayaan masing-masing bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Pengarah Urusan Polyplas, YBrs. Encik Andrew Teoh berkata, fasiliti baharu itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat dan memperlihatkan komitmen berterusan mereka untuk memberikan kecemerlangan kepada pelanggan.
Jelasnya, kilang tersebut bukan sahaja merupakan pelaburan besar dalam teknologi dan keupayaan pengeluaran, tetapi juga terhadap pembangunan rakyat, komuniti dan masa hadapan industri.
Tambah beliau, kilang tersebut dilengkapi jentera terkini dan sistem pengeluaran mampan yang akan meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti, serta menyokong usaha Polyplas meneroka pasaran baharu.