Diterbitkan pada 6 Disember 2025, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) Seremban Sentral dijangka menjanakan perolehan perniagaan sehingga RM300 juta setahun dan mewujudkan sekitar 2,500 peluang pekerjaan baharu, sekali gus meningkatkan daya saing Seremban sebagai hab bandar moden.

Projek pembangunan di kawasan seluas 8.42 hektar (20.8 ekar) itu melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM2 bilion.

Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, pelaksanaan projek ini dijangka meningkatkan pendapatan tenaga kerja tempatan, termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta sebulan menerusi aktiviti langsung dan rantaian sokongan ekonomi.

Fasa pertama pembangunan yang akan bermula pada tahun 2026 menampilkan kemudahan utama seperti Sunway Medical Centre Seremban dengan kapasiti lebih daripada 250 katil dan keluasan 480,000 kaki persegi.

Hospital swasta tersebut bakal menjadi yang pertama di Negeri Sembilan dibina bersebelahan stesen kereta api.

Selain itu, fasa sama turut merangkumi pembinaan pusat membeli-belah seluas 1.2 juta kaki persegi, menara pejabat 300,000 kaki persegi dan pembangunan komersial dan kediaman.

Fasa kedua pula akan melibatkan peluasan pembangunan ke segmen pangsapuri perkhidmatan, ruang komersial dan kemudahan komuniti merangkumi sehingga 3.2 juta kaki persegi secara berperingkat antara tahun 2029 hingga tahun 2039.

Loke menegaskan bahawa Seremban Sentral bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi simbol transformasi bandar yang menyepadukan kediaman, tempat kerja, kemudahan kesihatan, gaya hidup dan perkhidmatan.

Projek berkenaan turut disasarkan melayani sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian yang bergerak antara rumah, tempat kerja, pusat kesihatan dan pusat gaya hidup yang akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti ekonomi dan mobiliti bandar.

Pemaju Sunway Group dengan sokongan Railway Assets Corporation (RAC) dan kerajaan negeri turut memberikan penekanan kepada prinsip kelestarian, termasuk usaha memulihara kawasan bersejarah seperti Seremban Yard.

Pembangunan ini diharap menjadi pemangkin kemajuan Seremban sebagai bandar moden yang menawarkan peluang ekonomi lebih luas, menarik pelaburan dan merancakkan pertumbuhan mampan pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi