Diterbitkan pada 15 November 2025, 02:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Chongqing – Malaysia meneruskan eksport sarang burung walet (SBW) ke China selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menandatangani Protocol on Inspection, Quarantine and Hygiene Requirements for the Export of Raw-Unclean Edible-Birdnest and Raw-Clean Edible-Birdnest from Malaysia to the People’s Republic of China bersama-sama pihak General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC).

Pemeteraian tersebut berlangsung sempena 9th China–ASEAN Ministerial Meeting on SPS Cooperation yang menetapkan keperluan teknikal terkini melibatkan pemeriksaan veterinar, kebersihan, pelabelan, serta audit bagi pengeksportan SBW mentah bersih dan belum dibersihkan ke China.

Protokol baharu itu dimeterai oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu bagi pihak Malaysia dan H.E. Ms. Sun Meijun, Menteri GACC bagi pihak China.

Protokol baharu tersebut menggantikan dua protokol sebelum ini, iaitu protokol tahun 2012 untuk eksport SBW mentah bersih dan protokol tahun 2016 untuk eksport SBW belum bersih ke China.

Melalui pemeteraian ini, Malaysia berjaya mengekalkan akses pasaran eksport SBW ke China yang kekal sebagai destinasi utama bagi produk tersebut. Jumlah eksport SBW ke China merekodkan peningkatan ketara daripada 201 tan pada tahun 2022 kepada 484 tan pada tahun 2024 dengan nilai dagangan dianggarkan sekitar RM1.5 bilion setahun.

Protokol baharu ini menjadi langkah penting bagi memastikan kesinambungan eksport SBW Malaysia ke pasaran China, serta mengukuhkan reputasi negara sebagai pembekal utama produk sarang burung walet berkualiti tinggi di rantau ini.

KPKM melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan terus berperanan sebagai Competent Authority bagi melaksanakan kawalan veterinar, pensijilan, serta pemeriksaan ke atas loji pemprosesan yang berdaftar.

Tanggungjawab tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pengeluaran Sijil Kesihatan, serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi pemeriksaan sebelum eksport.

Malaysia turut menyatakan hasrat untuk memperluas kerjasama perdagangan pertanian dengan China, termasuk memuktamadkan protokol baharu bagi eksport produk ayam dalam masa terdekat.

Pelaksanaan protokol tersebut dijangka memberikan manfaat langsung kepada lebih daripada 15,000 pengusaha rumah burung walet dan 61 loji pemprosesan yang telah diluluskan oleh Pentadbiran Am Kastam China (GACC), sekali gus meningkatkan daya saing eksport agromakanan negara.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi