Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChongqing – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menghadiri The 9th ASEAN-China Ministerial Meeting on SPS Cooperation yang berlangsung di China pada 13 November 2025.
Mesyuarat dwitahunan itu diadakan secara bergilir antara China dengan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) selepas edisi sebelumnya dianjurkan di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2023.
Mesyuarat berkenaan turut menekankan komitmen kerjasama ASEAN–China yang telah digariskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober 2025 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur, serta komitmen yang dizahirkan dalam 47th ASEAN Ministers on Agriculture and Forestry Plus Three Meeting pada 1 Oktober 2025 di Bandaraya Pasay, Filipina.
Kerjasama itu bertujuan menyokong visi bersama ke arah sektor pertanian yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif bagi memastikan keterjaminan makanan, serta kemakmuran rantau ASEAN.
Mesyuarat turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek makanan, pertanian dan perhutanan, terutamanya bagi meningkatkan perdagangan, penggunaan teknologi, serta penggunaan platform sijil elektronik yang dibangunkan China dan ASEAN Single Window (ASW).
Selain itu, penyeragaman mekanisme dan standard berkaitan dengan isu sanitari dan fitosanitari serta kerjasama dalam latihan dan pembangunan modal insan turut diberi perhatian.
Mesyuarat juga mencapai persetujuan untuk terus bekerjasama melaksanakan ASEAN-China Cooperation on Sanitary and Phytosanitary Action Plan for 2026–2027 yang menjadi dokumen rujukan utama bagi usaha kerjasama sanitari dan fitosanitari antara ASEAN dengan China.
Fokus utama rancangan itu termasuk memudahkan perdagangan tanpa menjejaskan keselamatan makanan, memelihara kesihatan, menyeragamkan standard, serta perkongsian amalan terbaik bagi mengekang penularan penyakit ternakan dan tanaman.