Diterbitkan pada 8 November 2025, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rompin – Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berlangsung di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Muadzam Shah, Pahang.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan wakil kementerian, agensi kerajaan, serta pakar industri benih daripada sektor swasta bagi membincangkan hala tuju pembangunan benih negara.

Mesyuarat berfungsi sebagai platform utama bagi memperkukuh daya saing sektor pertanian melalui pembangunan dan penggunaan benih tempatan yang berkualiti, selaras dengan sasaran mengurangkan kebergantungan import benih sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2040.

Penubuhan Hab Benih Negara turut diberi penekanan sebagai inisiatif strategik untuk memajukan pembangunan benih dan baka tempatan, serta memastikan kestabilan bekalan dan keterjaminan makanan negara.

Antara keputusan strategik yang dicapai termasuklah pengukuhan hala tuju pembangunan benih kelapa dengan sasaran mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 100 peratus menjelang tahun 2035 yang bakal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Selain itu, mesyuarat turut bersetuju melaksanakan pengeluaran benih ikan Bawal Emas secara domestik melalui kerjasama strategik bersama rakan industri yang akan diterajui oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi memperkukuh sektor akuakultur negara.

KPKM menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kelestarian industri benih dan baka tempatan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada import, di samping meningkatkan kemampuan negara menghasilkan benih sendiri untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi