Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Agromarketing Masterclass TikTok Shop Edition (AMTTSE) 2025 yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama-sama TikTok Shop mencatatkan jualan sebanyak RM12 juta.
Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid Bahri berkata, program selama lima bulan yang bermula pada Julai 2025 disertai oleh 182 usahawan daripada 91 syarikat. Jumlah jualan ini mencerminkan peningkatan 94 peratus berbanding dengan prestasi pada tahun 2024 yang mencatatkan jualan sebanyak RM6.2 juta.
Antara pencapaian menarik termasuklah beberapa syarikat dalam kategori produk segar dan beku mencatatkan jualan mencecah RM47,000 (USD10,600). Selain itu, lapan syarikat yang diuruskan oleh individu kurang upaya (OKU) merekodkan jualan RM286,000, dengan jumlah tontonan siaran langsung (live) melebihi 1.3 juta kali dalam TikTok Shop.
Menurut YBrs. Encik Abdul Rashid, terdapat usahawan yang berjaya menggandakan hasil jualan sehingga tiga kali ganda selepas terlibat dalam siaran langsung TikTok Shop yang menunjukkan potensi besar e-dagang langsung bagi sektor agromakanan.
Pada majlis Grand Final AMTTSE 2025, Anugerah Inspirational Entrepreneur dimenangi oleh Jasmani Abdul Hamid daripada Anis Café Enterprise. Usahawan ini mengendalikan 83 produk “sedia dimakan” di bawah jenama Jasmani dengan hampir 80 peratus jualannya berlaku melalui TikTok Shop.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif FAMA untuk memperkasakan usahawan agromakanan dengan kemahiran pemasaran digital, serta meningkatkan kehadiran produk tempatan dalam platform e-dagang dan media sosial. Melalui kolaborasi ini, FAMA berharap dapat membantu usahawan sektor pertanian menembusi pasaran digital dengan lebih berkesan, sambil meningkatkan pendapatan mereka secara mampan.