Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShanghai – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi Shanghai 2025 menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM3 bilion selaras dengan peningkatan permintaan produk halal pada peringkat global, khususnya di China yang kini muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dunia.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan perkembangan ketara terhadap produk dan perkhidmatan halal di negara tersebut.
Menurut beliau, penyertaan Malaysia dalam pasaran strategik seperti Shanghai bukan sahaja membuka peluang dalam ekosistem halal bernilai trilion dolar, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global yang diiktiraf.
Beliau menjelaskan bahawa kesedaran masyarakat China terhadap aspek keselamatan makanan, standard kualiti dan pensijilan halal Malaysia menjadi pemangkin kepada keyakinan tinggi terhadap produk halal negara.
Tambahnya, permintaan kini turut meluas merangkumi produk gaya hidup, perubatan, nutraseutikal, kosmetik, barangan pengguna serta perkhidmatan kewangan Islam, sekali gus mencerminkan kematangan dan perkembangan ekosistem halal global.
Setakat tiga hari penganjuran, MIHAS@Shanghai 2025 merekodkan jualan keseluruhan RM1.24 bilion. Jumlah itu merangkumi RM 651.8 juta melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), RM271 juta melalui jualan langsung di tapak pameran dan nilai 16 memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM315 juta.
Produk siap makan (ready-to-eat) menjadi penyumbang utama dengan 43 peratus jumlah transaksi, diikuti produk berasaskan sawit (16 peratus), minuman (12 peratus), produk agrikultur (10 peratus) dan perkhidmatan kewangan Islam (lima peratus). Data ini menunjukkan kepelbagaian dan daya saing produk halal Malaysia dalam pasaran antarabangsa.
Pameran yang berlangsung dari 5 November 2025 hingga 10 November 2025 di Pusat Konvensyen dan Pameran Nasional (NECC), Shanghai diadakan bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), satu daripada acara perdagangan terbesar dunia.
Sebanyak 250 syarikat Malaysia mengambil bahagian merangkumi sektor makanan dan minuman, pertanian, FMCG, penjagaan kesihatan, peralatan perubatan, teknologi, logistik serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan.
Lebih daripada 1,000 sesi padanan perniagaan turut berjaya diatur antara pemain industri Malaysia dengan pembeli luar negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam rantaian bekalan halal serantau.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis bahawa sasaran RM3 bilion dapat dicapai sebelum pameran melabuhkan tirai.
MATRADE turut menegaskan bahawa reputasi tinggi pensijilan halal Malaysia, pertumbuhan pesat sektor peruncitan dan e-dagang di China, serta peluasan saluran pemasaran baharu menjadi antara faktor utama peningkatan permintaan produk halal Malaysia.
Secara keseluruhan, MIHAS@Shanghai 2025 bukan sahaja melonjakkan keterlihatan produk halal Malaysia pada peringkat antarabangsa, tetapi turut memacu hubungan ekonomi dua hala Malaysia–China.
Dengan pencapaian awal yang memberangsangkan serta sokongan padu kerajaan dan industri, MIHAS@Shanghai terus muncul sebagai platform strategik bagi memperkukuh eksport halal negara dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama industri halal global.