Diterbitkan pada 18 November 2025, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) membongkar kegiatan ketidakpatuhan cukai melibatkan sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah.

Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang sekian lama menjejaskan hasil negara.

Dalam satu operasi penguatkuasaan serentak di tiga lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit, HASiL melaksanakan tindakan penggeledahan untuk memperoleh dokumen serta bahan bukti berkaitan dengan ketidakpatuhan cukai.

Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dengan anggaran sekitar RM70 juta. Berikutan itu, siasatan dijalankan di bawah subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 terhadap syarikat, manakala pengarahnya disiasat mengikut perenggan 113(1)(a) akta sama.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, tindakan itu merupakan operasi bersasar bagi memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti jual beli kenderaan mewah.

Menurutnya, ketidakpatuhan berskala besar bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah merosakkan keadilan sistem percukaian.

HASiL turut menegaskan bahawa pihaknya sedang dan akan meneruskan tindakan pendakwaan terhadap pelbagai kes pelarian cukai termasuk perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan, hasil perjudian, aktiviti haram serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan.

Langkah tersebut membuktikan komitmen berterusan agensi tersebut bagi membendung ketirisan hasil negara dan memastikan pematuhan menyeluruh.

HASiL menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan mengelak cukai dan kekal komited memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Untuk pertanyaan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-89111000/603-89111000 (luar negara);
  2. HASiL Live Chat;
  3. Borang Maklum Balas melalui portal rasmi HASiL.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi