Diterbitkan pada 16 November 2025, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga tahun 2025 dipacu oleh prestasi mantap merentas semua sektor utama, menurut Kementerian Kewangan.

Permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pasaran buruh yang stabil dan inflasi yang terkawal.

Peningkatan eksport, serta kesan aktiviti perdagangan terdahulu turut mengukuhkan pertumbuhan. Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025, ekonomi negara berkembang 4.7 peratus mencerminkan daya tahan Malaysia dalam suasana global yang mencabar.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pencapaian suku ketiga meletakkan Malaysia pada landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor bernilai tinggi.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan berkembang 5.0 peratus dipacu oleh subsektor makanan dan minuman, penginapan, serta pengangkutan dan penyimpanan. Sektor pembuatan pula meningkat 4.1 peratus, manakala perlombongan mencatat pemulihan ketara sebanyak 9.7 peratus didorong oleh pengeluaran gas asli dan minyak mentah yang lebih tinggi.

Kerajaan MADANI komited melaksanakan pembaharuan struktur dan fiskal bagi memperkukuh produktiviti, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, di samping mengekalkan sasaran pengurangan defisit kepada 3.8 peratus pada tahun 2025 dan 3.5 peratus pada tahun 2026.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi