Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kadar pengangguran kekal tiga peratus pada September 2025 dengan jumlah penganggur menurun kepada 518,600 orang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi yang memberangsangkan terus memperkukuh pasaran buruh negara dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja serta pengurangan dalam kadar pengangguran.
“Tenaga buruh berkembang sebanyak 0.2 peratus kepada 17.54 juta orang berbanding dengan 17.51 juta orang pada Ogos, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus,” ujar YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 17.03 juta orang berbanding dengan 16.99 juta orang pada Ogos.
Daripada jumlah itu, kategori pekerja merangkumi 74.9 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja dengan meningkat 0.1 peratus kepada 12.74 juta orang berbanding dengan 12.73 juta orang pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, bilangan penduduk bekerja sendiri turut meningkat 0.4 peratus kepada 3.24 juta orang berbanding dengan 3.22 juta orang pada Ogos 2025.
Mengulas mengenai situasi pengangguran, YBhg. Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, golongan penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia dan aktif mencari pekerjaan mewakili 79.8 peratus daripada jumlah penganggur.
“Kategori ini mencatatkan penurunan 0.3 peratus kepada 413,600 orang berbanding dengan 414,900 orang pada bulan Ogos. Dalam kumpulan ini, 64.6 peratus menganggur kurang tiga bulan, manakala 4.9 peratus terdiri daripada penganggur jangka panjang melebihi setahun,” jelas beliau.
Bagi perbandingan suku tahunan, tenaga buruh meningkat 0.7 peratus kepada 17.49 juta orang pada suku ketiga 2025 berbanding dengan 17.37 juta orang pada suku tahun kedua 2025.
KPTB juga meningkat 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus, manakala bilangan penduduk bekerja bertambah 0.7 peratus kepada 16.97 juta orang. Jumlah penganggur pula menurun 0.2 peratus kepada 519,900 orang berbanding dengan 520,900 orang pada suku kedua 2025.