Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rizab antarabangsa negara yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan sebanyak USD123.8 bilion pada akhir Oktober 2025, sekali gus kedudukan kewangan luar negara yang stabil.
Menurut kenyataan BNM, jumlah rizab ini mencukupi untuk membiayai keperluan import barangan dan perkhidmatan negara selama 4.8 bulan.
Dari segi nisbah hutang luar negara jangka masa pendek, rizab semasa berada pada tahap 0.9 kali ganda daripada jumlah hutang berkenaan. Walaupun angka ini kurang daripada satu kali ganda, BNM menjelaskan bahawa hal ini tidak menimbulkan kebimbangan kerana sebahagian besar hutang tersebut melibatkan bank tempatan dan syarikat multinasional yang menjalankan urus niaga dalam mata wang asing.
“Hutang jangka masa pendek ini merupakan pinjaman daripada bukan pemastautin dengan tempoh matang setahun atau kurang. Hal ini kebanyakannya melibatkan bank tempatan yang mengurus kecairan mata wang asing mereka, serta syarikat dan bank asing yang meminjam daripada ibu pejabat masing-masing di luar negara,” jelas kenyataan itu.
BNM menegaskan bahawa komitmen hutang ini dapat dipenuhi melalui urusan perniagaan biasa menggunakan pegangan aset luar negara entiti terbabit, sekali gus tidak menimbulkan sebarang tuntutan terhadap rizab antarabangsa bank pusat.
Kedudukan rizab yang kukuh ini penting bagi mengekalkan kestabilan ekonomi negara, serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap Malaysia pada peringkat antarabangsa.