Diterbitkan pada 31 Oktober 2025, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gyeongju – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang ke-32 di Gyeongju, Korea Selatan bermula pada 31 Oktober hingga 1 November 2025.

Mesyuarat ini akan menghimpunkan 21 pemimpin ekonomi APEC dengan tujuan merangka strategi bersama untuk memperkukuh hubungan ekonomi, memajukan inovasi dan meningkatkan kemakmuran di seluruh rantau Asia–Pasifik.

Beliau diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, serta Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan.

Mesyuarat APEC kali ini mengangkat tema Building a Sustainable Tomorrow: Connect. Innovate. Prosper. Tiga keutamaan utama akan menjadi fokus utama perbincangan, iaitu mengukuhkan perhubungan antara ekonomi melalui sistem perdagangan yang telus, memupuk inovasi melalui kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan memajukan kemakmuran dengan memperkenalkan perdagangan yang lebih mampan dan inklusif.

Mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul menyatakan bahawa, “Di tengah-tengah dinamik global yang tidak menentu daripada perubahan corak perdagangan kepada gangguan teknologi yang pesat, Malaysia terus melihat APEC sebagai platform penting untuk tindakan dan kemajuan bersama.”

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tetap komited terhadap prinsip MADANI dalam memperjuangkan sistem perdagangan pelbagai hala yang adil dan telus, sambil memberikan tumpuan kepada pertumbuhan mampan, transformasi digital, kerjasama serantau, serta pembangunan inklusif.

Dalam mesyuarat ini, para pemimpin APEC dijangka akan mengesahkan Deklarasi Gyeongju yang bakal merumuskan hasil utama termasuklah inisiatif AI APEC, rangka kerja kolaboratif untuk perubahan demografi, serta kenyataan pemimpin mengenai kerjasama dalam industri kreatif dan kebudayaan.

Di luar sidang rasmi, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga akan mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat, perbincangan dengan pemimpin perniagaan utama, serta sesi media bagi memperkukuh usaha Malaysia dalam mempertingkatkan perdagangan, pelaburan, inovasi AI dan pembangunan tenaga mampan.

APEC merangkumi 61 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, 46 peratus daripada perdagangan dunia dan lebih daripada tiga bilion penduduk, menjadikannya platform yang amat penting bagi Malaysia dalam membantu membentuk fasa pertumbuhan yang lebih terangkum dan mampan di rantau ini.

 

Kredit Foto: FB Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi