Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru agar ASEAN memperkukuh perdagangan dan kerjasama serantau, khususnya dalam bidang pendigitalan, kesalinghubungan dan keselamatan maritim bagi membuka sepenuhnya potensi ekonomi rantau ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada makan malam Bloomberg Business Summit yang diadakan bersempena dengan hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur malam tadi.

“Sebagai negara perdagangan, Malaysia akan terus meneroka pasaran baharu dan memperkukuh hubungan dengan ekonomi utama dunia bagi memastikan pertumbuhan dan pelaburan yang berterusan,” katanya.

Menurut beliau, para pemimpin ASEAN telah mencapai kesepakatan untuk mengekalkan kepimpinan ASEAN serta meneruskan kerjasama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China sambil memastikan rantau ini kekal stabil dan terbuka.

“Saya mengambil peluang untuk menjelaskan kedudukan Malaysia. Dari segi kestabilan politik, Malaysia merupakan satu daripada negara yang paling stabil di rantau ini,” ujar beliau.

YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa kestabilan dan kejelasan dasar merupakan faktor penting yang memberikan keyakinan kepada pelabur.

“Apabila dasar seperti strategi semikonduktor, pelan induk industri baharu, peralihan tenaga dan transformasi digital dilaksanakan dengan jelas, hal ini memudahkan pembuat dasar serta pelabur domestik dan asing untuk mengambil tindakan yang tepat,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui cabaran utama sewaktu mengambil alih pentadbiran ialah keberkesanan pelaksanaan dasar, khususnya dalam membetulkan persepsi terhadap amalan tadbir urus dan membanteras rasuah.

“Bagi saya, tiada bezanya antara komisen yang diberikan kepada golongan elit dengan rasuah yang diterima oleh golongan bawahan; kedua-duanya tetap salah. Kita perlu membetulkan persepsi ini dan memberikan tumpuan kepada amalan tadbir urus yang baik,” tegasnya.

YAB Dato’ Seri Anwar turut menekankan bahawa tadbir urus yang baik menjadi asas kepada kekuatan ekonomi.

“Banyak ahli ekonomi membincangkan asas ekonomi, tetapi tanpa tadbir urus yang baik, asas tersebut tidak akan bermakna kerana pendekatan ekonomi itu jelas tidak memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan kini menumpukan kepada dasar yang lebih adil dan terangkum dengan menolak ketidaksamarataan ekonomi yang melampau.

“Secara moral, saya tidak dapat menerima kenyataan bahawa kerajaan atau elit politik membiarkan kemiskinan tegar wujud di tengah-tengah kemewahan. Dasar negara perlu jelas dan berubah daripada berpegang kepada Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang bersifat konvensional dan terlalu menekankan komposisi kaum kepada dasar yang lebih berfokuskan keperluan. Tindakan afirmatif masih diperlukan, tetapi mesti berasaskan keperluan sebenar. Kemiskinan tetap kemiskinan dan mobiliti sosial perlu ditangani dengan memberikan sokongan yang tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menyentuh aspek perdagangan global, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia akan terus meneroka pasaran baharu di samping mengekalkan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti AS dan China.

“Tiada masalah untuk kita meneruskan hubungan perdagangan dengan AS, namun kita juga menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam pelaburan dari China. Selain itu, rantau ini turut berhasrat untuk memperluas hubungan dengan Kanada, Afrika Selatan, benua Afrika, Amerika Latin, serta pastinya meneroka potensi besar dalam ASEAN itu sendiri,” ujarnya.

Makan malam anjuran Bloomberg menghimpunkan tokoh perniagaan dan kewangan serantau bagi membincangkan hala tuju ekonomi dan peluang pelaburan di Asia Tenggara.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi