Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Strategi Kebangsaan Celik Kewangan Malaysia 2026–2030 (NS2.0) dan Bulan Celik Kewangan (FLM) 2025 di Sasana Kijang.
NS2.0 merupakan kesinambungan kepada strategi pertama yang dilaksanakan antara tahun 2019 hingga tahun 2023. Dengan tema “Membentuk Masa Depan Kewangan yang Tahan Lasak”, strategi ini memberikan tumpuan kepada lima keutamaan utama bagi memperkukuh pengetahuan dan ketahanan kewangan rakyat pada semua peringkat usia.
Antara tumpuan utama strategi baharu itu termasuklah membantu keluarga merancang persaraan, melindungi isi rumah daripada kejutan kewangan tidak dijangka, serta menggalakkan budaya menabung dan melabur dengan bijak. Pendekatan ini turut menitikberatkan golongan rentan dan komuniti luar bandar melalui khidmat nasihat serta program yang disesuaikan dengan keperluan mereka.
Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan, NS2.0 turut memperkenalkan Rangka Kerja Pemantauan dan Penilaian (M&E) dengan sasaran dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bagi menilai keberhasilan strategi secara telus dan berasaskan bukti.
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan “Skuad Celik Kewangan” sempena FLM2025, iaitu siri jelajah pendidikan kewangan yang akan mengunjungi 111 lokasi di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar, golongan orang kurang upaya (OKU) dan usahawan mikro.
Sementara itu, Simposium Celik Kewangan Kebangsaan 2025 yang diadakan pada 2 Oktober 2025 turut menghimpunkan penyelidik, pembuat dasar dan pemimpin komuniti bagi membincangkan langkah memperkukuh ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Pelancaran NS2.0 dan FLM2025 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bersama-sama rangkaian FEN bagi memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja celik kewangan, tetapi juga mampu mengurus masa hadapan kewangan mereka dengan yakin dan bertanggungjawab.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour; dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi.