Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sistem kewangan negara kekal stabil dan kukuh pada separuh pertama tahun 2025, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Demikian menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Pertama Tahun 2025 (TKK ST1 2025) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM melaporkan bahawa kedudukan kewangan isi rumah dan perniagaan di Malaysia secara keseluruhannya berada pada tahap yang baik. Rakyat dan syarikat terus berupaya membayar balik komitmen hutang masing-masing, disokong oleh syarat pinjaman yang berhemah serta keadaan pasaran pekerjaan yang positif. Walaupun nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sedikit kepada 84.8 peratus, kadar pinjaman bermasalah kekal rendah pada 1.1 peratus.

Bagi sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kebanyakan syarikat berjaya mengekalkan kekuatan kewangan walaupun berdepan dengan tekanan kos operasi yang tinggi seperti kos buruh dan bahan mentah. Langkah pengurusan kos yang proaktif oleh syarikat turut membantu mengekalkan kemampuan membayar balik pinjaman.

Pasaran kewangan domestik turut kekal teratur walaupun dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik serantau dan perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS). Nilai ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 6.1 peratus berbanding dengan dolar AS antara bulan Mac hingga bulan September 2025. Pengukuhan ini didorong oleh prospek ekonomi negara yang kukuh dan sentimen pelabur yang positif terhadap pasaran tempatan.

BNM menegaskan bahawa institusi kewangan negara kekal berdaya tahan dengan kedudukan modal yang kukuh dan kecairan yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, keselamatan operasi dan pencegahan aktiviti penipuan kekal menjadi keutamaan. Timbalan Gabenor BNM, YBrs, Aznan Abdul Aziz berkata, bentuk penipuan kini lebih menjurus kepada penipuan berautoriti yang menggunakan taktik kejuruteraan sosial.

Oleh itu, BNM bersama-sama industri kewangan sedang memperkukuh sistem pengesanan penipuan dan menambah baik Portal Penipuan Kebangsaan (National Fraud Portal) bagi melindungi mangsa yang terkesan. Pengawasan terhadap sistem pembayaran rentas sempadan QR turut akan dipertingkatkan.

Selain itu, BNM menegaskan bahawa peranan institusi kewangan kekal penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Sehingga bulan Jun 2025, sistem perbankan negara mencatatkan lebihan modal sebanyak RM138.9 bilion dengan nisbah modal keseluruhan 18.2 peratus. Sektor insurans dan takaful turut menunjukkan keteguhan dengan nisbah kecukupan modal agregat 223 peratus dan lebihan modal RM42 bilion.

Tahap simpanan modal yang tinggi ini membolehkan institusi kewangan terus berupaya menyerap kerugian tidak dijangka, serta mengekalkan kemampuan menyediakan pembiayaan dan perlindungan kepada isi rumah dan perniagaan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi